JKR perlu tambah baik susunan masa lampu isyarat Taman Matahari Height

JKR perlu tambah baik susunan masa lampu isyarat Taman Matahari Height

J. ARUL Kumar (kanan) bersama Pengarah JKR Negeri Sembilan, Datuk Ir. Wan Hasnan Wan Musa ketika meninjau lokasi kemalangan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Persiaran Senawang berdekatan Taman Matahari Height, Senawang, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta untuk menambah baik susunan masa lampu isyarat di persimpangan Jalan Persiaran Senawang berdekatan Taman Matahari Height, Senawang di sini. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata, ia merupakan sebahagian langkah bagi mengelakkan insiden kemalangan yang berpunca daripada tindakan melanggar lampu isyarat merah berulang di kawasan tersebut.

“Saya bersama Pengarah JKR Negeri Sembilan telah meninjau persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Heights Jalan Persiaran Senawang yang telah berlaku kemalangan maut pada awal pagi semalam dan bulan Mac lepas.

“Dalam kedua-dua insiden tersebut didapati berpunca daripada sikap pemandu kereta dan van yang melanggar lampu isyarat yang telah menyebabkan kemalangan. Jika mereka patuh lampu isyarat kedua-dua kemalangan tersebut dapat dielakkan dan empat nyawa tidak akan melayang.  

“Walaupun kemalangan ini berpunca daripada sikap pemandu tetapi pihak JKR akan menambah baik beberapa perkara tersebut. Ini antara yang kita akan lihat dan bincang dengan melihat kesesuaian daripada segi teknikal dan beberapa faktor lain,” katanya di sini. 

Pada masa yang sama, kata beliau, beberapa tindakan untuk memperlahankan kelajuan kenderaan di kawasan tersebut juga akan dilaksanakan.

Dalam pada itu, seorang pekerja bengkel, Abdul Latif Ahmad, 40, berkata, kamera perangkap laju wajar dipasang di kawasan berkenaan.

“Memandangkan kawasan ini sering berlaku kemalangan jadi pemasangan kamera perangkap laju sangat perlu. Pada masa sama, saya turut mencadangkan supaya meletakkan garisan merah supaya kenderaan yang melalui jalan lurus ini tidak memandu dengan laju,”katanya. 

Bagi Zainuddin Harun, 65, dari Kampung Paroi, pemasangan paku jalan dan garisan kuning tebal perlu dilakukan bagi mengurangkan kelajuan kenderaan. 

“Apa juga cadangan pun, berbalik kepada cara pemanduan pengguna jalan raya itu sendiri, mereka perlu memandu dengan berhati-hati, tidak kira mana-mana persimpangan lampu isyarat pun,”katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain berkata, alasan lampu isyarat tidak jelas tidak harus dijadikan alasan untuk memandu kenderaan dengan laju. 

“Apabila tiba lampu kuning lagilah pemandu akan tekan minyak untuk mengejar lampu isyarat sebelum bertukar jadi merah. Isu dua insiden kemalangan yang berlaku di sini adalah melanggar lampu merah, jadi ia berkait rapat dengan kesabaran pemandu. 

” Oleh itu, pemandu perlulah patuh dan ikut peraturan jalan raya dengan memandu secara berhati-hati demi keselamatan orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya