KANGAR: Jika Melaka dikenali dengan beca berhias bunga warna-warni, Perlis kini menampilkan choley sebagai pengangkutan pelancongan unik yang bakal menjadi simbol baharu negeri paling utara tanah air ini.
Choley, kenderaan kecil yang diubah suai khas untuk membawa pelancong, sebelum ini hanya beroperasi di Kampung Warna-Warni Seberang Ramai. Namun, kerajaan negeri berhasrat memperluaskan perkhidmatan itu ke kawasan tumpuan pelancong lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, usaha memperkenalkan choley secara lebih meluas dimulakan di Terminal Feri Kuala Perlis sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang bermula semalam.
“Ia bagi menarik perhatian pengunjung untuk melawat sekitar Kuala Perlis menaiki pengangkutan berkenaan sementara menanti ketibaan feri ke Pulau Langkawi.
“Kalau di Melaka orang naik beca, di Perlis kita mahu orang naik choley. Ini bukan sahaja produk pelancongan, tetapi satu identiti baharu negeri yang perlu ditonjolkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kesempatan penganjuran LIMA’25 digunakan sepenuhnya untuk menarik pengunjung melawat sekitar Kuala Perlis bagi menyemarakkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 serta memenuhi saranan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Dalam usaha itu kata Abu Bakar, sebanyak tiga unit choley disediakan buat permulaan dan jumlahnya akan ditambah berdasarkan permintaan.
“Setakat ini, terdapat lebih 30 unit beroperasi di Kampung Warna-Warni dan kita akan berbincang dengan agensi terlibat untuk menjadikan choley sebagai ikon pelancongan tetap Perlis. Kalau orang ke Perlis, orang cari choley,” katanya.-UTUSAN










