Jeruk sumber rezeki bekas pemandu lori

Jeruk sumber rezeki bekas pemandu lori

MOHD. Zulhilmi Ahmad dan Tengku Norhidayu Tengku Nazri menunjukkan jeruk buah-buahan dihasilkan mereka di Kampung Kubang Palas, Hulu Terengganu. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang bekas pemandu lori penghidap penyakit jantung gigih mencari rezeki dengan mengusahakan aneka jeruk buah-buahan bersama isterinya di rumah sewa mereka di Kampung Kubang Palas, di sini.

Mohd. Zulhilmi Ahmad, 41, berkata, sehingga kini terdapat lebih 10 jenis jeruk dihasilkan melalui resipi diwarisi turun temurun keluarga selain olahan sendiri.

“Sebelum ini saya dan isteri, Tengku Norhidayu Tengku Nazri, 34, menghasilkan jeruk sebagai pendapatan sampingan memandangkan saya sibuk bekerja sebagai pemandu lori.

“Namun lapan tahun lalu, saya terpaksa berhenti kerja dan memberi fokus kepada keluarga kerana isteri mengalami masalah kesihatan ketika hamil serta lahirkan anak ketiga,” katanya ketika ditemui.

Antara jeruk dihasilkan ialah bidara, cermai dan kelubi yang dijual antara RM20 hingga RM35 sebalang bergantung kepada jenis.

Bapa kepada empat anak berusia dua tahun hingga 13 tahun itu disahkan menghidap penyakit jantung baru-baru ini sekali gus membataskannya daripada me­lakukan kerja berat kerana mudah keletihan.

Keluarga ini bagaimanapun bersyukur menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu serta Sumbangan Asas Rahmah yang dapat meringankan perbelanjaan keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN