IPOH: Jenazah Allahyarham Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, 46, mangsa yang terkorban dalam kemalangan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan lori di Teluk Intan semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Meru di sini hari ini.
Jenazah diberikan penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan selesai dikebumikan pada pukul 5.20 pagi.
Pada istiadat tersebut, Pegawai Penjaga Terup FRU Unit 5A, ASP Yamin Mat Zaid menyerahkan Jalur Gemilang kepada adik bongsu Allahyarham, Mohamad Hazizi Abd. Rahim, 35, pada akhir istiadat pengebumian.
Kira-kira 100 orang termasuk pegawai dan anggota polis menghadiri pengebumian.
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan tersebut pada pukul 4.45 pagi dari Markas FRU Unit 5, Sungai Senam di sini.
Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik antara sembilan anggota FRU yang terkorban dalam kemalangan trak yang mereka naiki dengan sebuah lori di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di Teluk Intan semalam.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Nur Aini Samiun, 44, dan tiga anak iaitu Muhammad Raqin Najmi, 13, Muhammad Rizqi Nazhan, 9 dan Nur Aqeela Rawida, 6. – UTUSAN