PARIT BUNTAR: Jenazah Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, yang terkorban dalam nahas membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori di Teluk Intan semalam, selamat dikebumikan dengan istiadat polis di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Mubarak, Kampung Teluk Pial, Kuala Kurau di sini hari ini.
Terdahulu jenazah tiba di rumah mentuanya di kampung tersebut kira-kira pukul 6.15 pagi dan pengebumian bermula pada pukul 7 yang dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga dan penduduk setempat.
Sebelum itu, jenazah disolatkan di Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum dibawa ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam di Ipoh bagi menjalani istiadat penghormatan terakhir sebagai anggota polis.
Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan apabila ahli keluarga tidak dapat menahan sebak ketika jenazah dikebumikan dengan penuh penghormatan.
Sementara itu, bapa mentua Allahyarham, Mohd Hadzri Napiah, 79, berkata, keputusan mengebumikan jenazah Muhamad Akmal di Kampung Teluk Pial dibuat selepas perbincangan bersama besannya.
“Walaupun arwah berasal dari Kelantan, kami sekeluarga dan besan sepakat untuk mengebumikannya di sini demi memudahkan urusan serta ziarah keluarga.
“Keluarga Allahyarham di Kelantan juga menerima keputusan itu dengan hati terbuka,” katanya.
Menurutnya, Allahyarham sempat pulang berhari raya Aidilfitri baru-baru ini sebelum kembali ke Ipoh kerana tugasan.
“Dia ada beritahu akan pulang ke Kelantan sempena Aidiladha nanti, tapi tak sangka itulah kali terakhir kami bertemu,”katanya.
Mengenai tragedi yang menimpa Muhamad Akmal, Mohd Hadzri berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jirannya sebelum dihubungi anak perempuannya, Noor Hasliza.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak, lelaki dan perempuan masing-masing berumur enam dan dua tahun. – UTUSAN