MELAKA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan pemantauan berterusan di lokasi kemunculan seekor buaya di tebing Sungai Umbai berhampiran Kampung Bukit Kechil, Pernu di sini.
Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai berkata, hasil tinjauan mendapati kelibat buaya berkenaan turut dikesan tidak jauh dari kawasan yang dilaporkan penduduk.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, kakitangan yang turun ke lokasi ada melihat kelibat buaya itu di sekitar kawasan tersebut.
“Untuk menangkapnya saya melihat kaedah jaring lebih praktikal buat masa ini. Saya juga nasihatkan penduduk supaya tidak menghampiri lokasi aduan dan tidak bertindak sendiri. Ini melibatkan keselamatan dan harus diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Pada 1 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang peniaga capati di Kampung Bukit Kechil terkedu apabila ‘disergah’ seekor buaya dipercayai jenis buaya tembaga yang tiba-tiba muncul di tebing Sungai Umbai berhampiran warung miliknya. – UTUSAN