Jangan tinggal solat - Noorkhiriah menangis di lubang kubur - Utusan Malaysia

Jangan tinggal solat – Noorkhiriah menangis di lubang kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Noorkhiriah, tidak dapat menahan air mata ketika menjayakan adegan berbaring dalam liang lahad menerusi drama Seribu Tahun.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman itu, Noorkhiriah atau Noorkhiriah Ahmad Shapie, 47, menganggap kenangan itu sebagai hadiah dan tanda kasih sayang Allah menjelang ulang tahun kelahirannya.

“Sampai sahaja di kubur, air mata saya tidak berhenti. Ya Allah, satu sahaja pesan saya, jangan tinggal solat walau sejahat manapun diri kita jika ada rasa sayang dalam diri.

“Terima kasih Allah memberikan hadiah cukup besar, Allah izinkan saya masuk ke dalam liang lahad dua hari sebelum ulang tahun kelahiran. Waktu hari lahir, suami hadiahkan kain kafan.

“Dosa banyak sampai Allah bagi nikmat ini, momen ini mahal,” kongsinya menerusi sebuah video di Instagram.

Dalam hantaran yang sama, pelakon yang membawa karakter Nor dalam drama tersebut turut menitipkan ucapan penghargaan kepada pengarah, Shahrulezad Mohameddin kerana menghasilkan naskhah yang memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Terima kasih abang Ezad (nama panggilan Shahrulezad) mata saya jadi saksi cabaran abang lalui demi menjayakan Seribu Tahun. Semoga setiap ketukan (skrip) akan menjadi saham pahala buat abang.

“Di mulut, abang tak lekang cakap buat semua ini kerana Allah. Watak Nor akan saya simpan dalam hati.

“Semoga Allah membalas segala kebaikan abang dan semua pasukan Seribu Tahun. Kita adalah keluarga,” tambahnya.

Sementara itu, video tersebut terus mencuri perhatian ramai dan mencapai hampir setengah juta tontonan sejak ia dimuat naik.

Rata-rata penonton memuji komitmen ditunjukkan Noorkhiriah bagi menjayakan watak yang dibawa.

“Tolong angkat Noorkhiriah sebagai pelakon terbaik 2025, mana tahu Allah kabulkan,” tulis satu komen.

“Kuat semangat akak, terima kasih buka mata hati kami. Entah berapa lama akak tahan air mata habis basah semua kain kafan,” kata komen yang lain.

“Semoga kepulangan kita akan mendapat pengakhiran yang baik,” tulis satu peminat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN