PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberi peringatan tegas kepada seluruh pengurusan agensi itu supaya tidak bersikap ‘syok sendiri’ dalam merangka sebarang bentuk perancangan dan inisiatif.
Menurut Asyraf Wajdi, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap sen yang dibelanjakan oleh Mara benar-benar memberi impak maksimum kepada golongan sasar khususnya usahawan bumiputera-Melayu.
“Prinsip dan pendekatan yang saya tekankan kepada pengurusan Mara ialah apa jua bentuk perancangan dan inisiatif yang ingin diperkenalkan tak boleh syok sendiri.
“Kita mesti mendapatkan maklum balas daripada kumpulan pemegang taruh yang relevan supaya setiap sen yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat semaksimum mungkin kepada usahawan Bumiputera-Melayu,” katanya menerusi ruangan komen di Facebook.
Asyraf berkata demikian susulan aduan seorang usahawan wanita dalam bidang optometris yang mendakwa program pembangunan usahawan dilaksanakan Mara bersama pemain industri tidak membantu sepenuhnya golongan tersebut.
Usahawan itu turut mempersoalkan tindakan Mara yang didakwa tidak memperuntukkan 60 peratus dana yang sepatutnya digunakan bagi membantu pengusaha bumiputera sedia ada dalam bidang optometris yang sedang berdepan pelbagai cabaran.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan telah segera meminta penjelasan daripada Bahagian Pembangunan Usahawan Mara.
Oleh itu, Asyraf Wajdi mengarahkan agar pihak pengurusan Mara segera mengadakan sesi libat urus meja bulat bersama pengamal optometris dan usahawan Bumiputera dalam bidang berkaitan.
“Mara mahu mendengar sendiri segala cabaran, kekangan serta bentuk bantuan yang diperlukan supaya bidang perniagaan ini dapat dikembangkan secara lebih efektif sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera-Melayu,” katanya. – UTUSAN