MELAKA: Tidak meninggalkan solat lima waktu dan solat sunat taubat menjadi amalan seorang penerima Anugerah Ulul Albab Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka yang meraih keputusan cemerlang 11A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Muhammad Ridhwan Faizul Azmey, 17, anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, selain itu, dia kerap membaca surah Yasin termasuk ketika menduduki peperiksaan.
“Saya cukup jaga solat lima waktu dan tidak pernah tercicir langsung termasuk solat sunat taubat dan bacaan surah Yasin. Alhamdulillah saya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dengan keputusan 11A.
“Selain itu, saya cukup menjaga hubungan baik dengan rakan sekelas serta menghormati mereka. Saya tidak pernah berdendam dengan ini sebarang masalah saya berkaitan dengan subjek-subjek yang mungkin saya tidak faham, merekalah yang banyak membantu,” ujarnya.
Dia ditemui selepas menerima anugerah tersebut pada Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2025, Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Muhammad Ridhwan yang berasal dari Alor Gajah adalah antara 11 pelajar yang meraih keputusan cemerlang 11A pada peperiksaan SPM 2024 yang diumumkan baru-baru ini.
Menurutnya, dia sudah menjangkakan mampu mencapai keputusan 11A selepas pada peperiksaan percubaan sebelum ini mencapai keputusan 10A dan 1B.
“Saya cukup gembira dengan anugerah yang diberikan serta menyemarakkan semangat saya untuk mencatat keputusan cemerlang apabila diterima masuk di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) tidak lama lagi,” ujarnya.
Katanya, keputusan tersebut turut mengikut jejak langkah seorang daripada tiga abangnya yang turut mendapat pendidikan Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab apabila turut mencatat keputusan 11A.
Ujarnya, dia berminat ingin melanjutkan pelajaran dalam mana-mana universiti yang menawarkan jurusan kejuruteraan kimia. – UTUSAN