GOPENG: Isteri kepada Allahyarham Amiruddin Zabri menyifatkan kematian suaminya sebagai ketentuan Allah dalam nahas yang turut meragut nyawa lapan lain anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada Selasa lalu.
Norazian Mohd Joned, 38, berkata, dia tidak akan menyalahkan pemandu lori yang terlibat selain menyifatkan ajal arwah suaminya dan lapan yang lain itu telah ditetapkan Allah SWT.
“Kita pun tidak menyalahkan pemandu lori. Mungkin itu cara Allah, sudah ditetapkan macam itu.
“Ini asbab sahaja. Suami (arwah) pernah cakap kes bomba lemas ramai-ramai (enam anggota bomba mati lemas di Puchong) Kita patut cemburu dengan mereka.
“Kematian mereka didoakan oleh semua orang yang tidak kenal pun. Arwah pernah cakap dia nak mati macam itu. Mungkin dalam hati arwah doa (meninggal dunia) sebegitu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sungai Itek di sini hari ini.
Dia menerima kunjungan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd. Khalid yang menyampaikan sumbangan manfaat takaful dan khairat kematian berjumlah RM4,000 kepadanya.
Pembantu tadbir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar ini berkata, dua anak lelakinya telah besar dan memahami tragedi yang berlaku tetapi tidak bagi anak bongsunya yang baru berumur setahun tiga bulan.
“Hari kejadian semasa saya ambil anak dari pengasuh , dia demam dua hari, mungkin sudah rasa (kematian bapanya) tetapi sudah bagi makan ubat, Alhamdulillah kebah (pulih).
“Tapi pada malam itu, anak bongsu (Amira Sofea) tidak boleh tidur kerana biasanya arwah yang dodoikan dan zikirkan sebelum tidur. Dia mencari ayahnya tetapi dia tak boleh sebut, menangis sahajalah sebelum tertidur sebelum kembali menangis apabila terjaga pukul 2 atau 3 pagi,” katanya.
Ujarnya, bagi mengubatkan kerinduan kepada arwah suaminya, dia dan tiga anaknya akan melihat dan mendengar rakaman video mereka sekeluarga di telefon pintar miliknya.
“Terutama yang kecil (bongsu). Bagi tengok video saja, apabila tengok video itu dia ciumlah gambar (ayahnya) di telefon,” katanya.
Dalam kejadian di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan dekat sini pada Selasa lalu, kenderaan membawa 18 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Sungai Senam, Ipoh terlibat kemalangan dengan sebuah lori muatan batu.
Kemalangan mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian sementara seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Kemalangan berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN