KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka hadir semula ke Ibu pejabat Putrajaya untuk diambil keterangan kali kelapan, esok.
Difahamkan, Ahli Parlimen Bera itu dikatakan sepatutnya hadir memberi keterangan hari ini, namun ditangguhkan ke hari seterusnya.
Menurut sumber, proses mengambil keterangan itu masih berlaku kerana terdapat pelbagai dokumen yang perlu disahkan beliau.
“Pegawai penyiasat akan merakam keterangan Ismail Sabri pada pagi esok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Bak sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan SPRM terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri, dianggarkan baru sekitar 15 hingga 20 peratus.
Beliau dilaporkan berkata, sesi mengambil keterangan daripada Ismail Sabri, dijangka disambung semula oleh pegawai penyiasat suruhanjaya tidak lama lagi.
Kali terakhir pemimpin veteran UMNO itu dipanggil tampil ke pejabat SPRM adalah pada 24 April lalu, bagi proses soal siasat dan memberi keterangan lanjut buat kali ketujuh bagi pengisytiharan harta kepada pegawai penyiasat SPRM.
Sebelum ini, beliau juga hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membuat pengisytiharan harta kepada pegawai penyiasat.
Ismail Sabri berdepan siasatan berhubung isu rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi serta publisiti program yang dijalankan kerajaan.
Dakwaan salah laku itu dibuat ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022. – UTUSAN