Integriti aset keperibadian berharga

Integriti aset keperibadian berharga

MSU
TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan bergambar bersama graduan yang menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-35 MSU di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahasiswa dinasihatkan supaya menjadi individu boleh dipercayai selain bersifat adil dan jujur dengan memupuk prinsip melakukan perkara yang betul meskipun ia tidak dilihat oleh sesiapa pun.

Titah Canselor Management & Science University (MSU), Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, tindakan sedemikian dipanggil sebagai integriti yang akan menjadi aset berharga bagi mahasiswa.

“Dalam dunia di mana jalan pintas kadangkala menggoda dan tekanan untuk berkompromi boleh terasa begitu kuat, integritilah yang akan membuat anda tetap berpijak di bumi nyata. Jadilah individu yang boleh dipercayai, rakan sekerja yang dilihat orang lain sebagai adil dan jujur.

“Ingatlah sikap anda akan membentuk sebahagian besar daripada pengalaman anda. Hidup bukan hanya tentang apa yang berlaku kepada anda, tetapi bagaimana anda bertindak balas terhadap apa yang berlaku,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-35 MSU yang berlangsung pada hari ini dan esok.

Pada konvokesyen tersebut, seramai 1,974 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) masing-masing daripada 126 program pengajian.

Tengku Sarafudin Badlishah menambah, mahasiswa perlu membina minda yang menyambut proses pembelajaran dengan menyedari kegagalan bukan suatu pengakhiran, tetapi sebagai langkah ke arah lebih baik.

“Sikap positif tidak bermaksud segalanya akan sentiasa mudah, ia bermaksud anda memilih untuk menghadapi cabaran dengan ketabahan dan minda yang terbuka. Bila anda berasa terbeban atau tidak pasti. Ingatlah ini, cabaran bukanlah penghalang, ia sebenarnya adalah peluang.

“Kejayaan adalah hasil daripada dedikasi, ketekunan dan kerja keras. Ketika anda memulakan kerjaya, ketahuilah tiada jalan pintas menuju kejayaan yang berkekalan. Kerja keras akan membuahkan hasil. Ia mengajar anda disiplin, daya tahan, dan kepuasan kerana anda tahu bahawa anda telah memberikan yang terbaik,” nasihat baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN