PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat punca insiden kemalangan membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang meragut nyawa sembilan anggota keselamatan di Jalan Chikus – Sungai Lampan, Teluk Intan, Perak pagi tadi.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pasukan khas itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat yang terdiri daripada pakar keselamatan serta wakil-wakil bebas.
Beliau berkata, pasukan itu akan meneliti punca kemalangan serta mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan jalan raya terutama melibatkan kenderaan berat.
“Siasatan ini adalah langkah tambahan kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) BIL. 1/2025) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Loke pada masa sama turut mengucapkan takziah kepada kesemua waris dan ahli keluarga FRU yang maut dalam kemalangan itu.
Polis hari ini mengesahkan sembilan anggota FRU meninggal dunia dalam nahas di KM15, Jalan Sungai Manik–Sungai Lampam itu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin dilaporkan berkata, seorang anggota meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, manakala lapan lagi maut serta merta di lokasi kejadian.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Sarjan S Perumal, 44; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit Ak Pandak, 34; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33 dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Difahamkan, kenderaan yang membawa 18 anggota FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh, Perak selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.
Dalam pada itu, dua anggota FRU yang cedera masih menerima rawatan di Zon Merah, manakala tujuh anggota lagi di Zon Kuning.
Sementara itu, pemandu lori berusia dalam lingkungan 40-an yang terlbat dalam nahas itu tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan dan saringan awal mendapati dia negatif dadah. – UTUSAN