PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan individu yang terjerumus dengan penagihan dadah ‘berpotensi’ untuk terbabit dalam 28 kegiatan jenayah lain.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendedahan itu bukan dakwaan semata-mata tetapi hasil analisis data yang dikumpul setiap bulan menerusi Pusat Sains Data yang dibangunkan kementerian.
Beliau berkata, data itu menunjukkan bahawa individu yang terlibat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) cenderung terbabit dalam pelbagai kesalahan lain seperti pemerasan dan rasuah.
“Kalau kita anggap jenayah di Malaysia seperti jaringan lebuh raya, jenayah di bawah Akta Dadah Berbahaya ini adalah simpang utamanya.
“Data ini memberi isyarat kepada kita bahawa jika mahu tangani puluhan jenayah lain, kita perlu atasi masalah dadah ini dahulu,” katanya ketika Sesi Minum Petang sempena Peringatan Hari Antidadah 2025, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, seramai 51,000 individu kini berada dalam komuniti pemulihan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), manakala 5,443 lagi berada di pusat pemulihan kendalian kerajaan dan swasta.
“Kadar pemulihan dadah ketika ini mencecah 80 peratus dalam tempoh dua tahun dan ia satu angka yang membanggakan.
“Justeru, pindaan terhadap Akta Penagih Dadah penting supaya pegawai pemulihan mempunyai kuasa lebih jelas dalam menilai dan menempatkan klien tanpa perlu menunggu laporan perubatan yang sebelum ini mengambil masa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, statistik suku pertama 2025 menunjukkan jumlah penagih masih berada pada tahap membimbangkan apabila 60 peratus daripada 108,000 kes adalah penagih baharu. – UTUSAN