SEREMBAN: India dan Pakistan digesa agar segera menghentikan sebarang bentuk serangan serta mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan di antara kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia telah jelas menyatakan keperluan untuk menyiasat insiden keganasan yang mengorbankan ramai nyawa, mengenal pasti pihak bertanggungjawab serta memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka terlibat.
Katanya, Malaysia menegaskan supaya India dan Pakistan berundur dan tidak melakukan apa jua keadaan yang menyebabkan keadaan kedua-dua negara berkenaan tidak menentu.
“Saya harap supaya pemimpin kedua-dua buah negara memikirkan gambaran yang lebih besar lagi dari melihat keadaan yang boleh menyebabkan hubungan kedua-dua negara itu terjejas.
“Malaysia telah dengan jelasnya menyatakam bahawa keperluan untuk menyiasat kejadian keganasan yang menyebabkan ramai yang terbunuh. Siapa yang bertanggungjawab dan tindakan perlu diambil ke atas siapa yang bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Senawang 3, di sini hari ini.
India dan Pakistan terlibat dalam pertikaian berpanjangan berhubung wilayah Kashmir telah berbalas serangan setiap hari sejak Rabu lalu.
Pada hari tersebut, India melancarkan serangan ke dalam wilayah Pakistan ke atas tapak yang disifatkannya sebagai pangkalan pejuang, manakala Pakistan pula memberi amaran bahawa pihaknya akan membalas serangan tersebut.
Mohamad berkata, rakyat Malaysia khususnya pelajar yang berada di India dan Pakistan khususnya di lokasi bergolak seperti di Kashmir dinasihatkan untuk segera menghubungi pihak konsulat.
Katanya, langkah berkenaan bagi memastikan butiran penting seperti nombor telepon dan alamat terkini dapat diperoleh konsulat bagi memudahkan pihak kedutaan menghubungi mereka jika terdapat keperluan.
“Setakat ni, tiada rakyat Malaysia yang terperangkap, belum ada apa-apa berita. Saya minta rakyat (Malaysia) di kawasan terlibat supaya mereka berhati-hati dan jika di luar kawasan terlibat, batalkan jika ada rancangan ke tempat (Kashmir) tersebut,” katanya.
Katanya, kedutaan Malaysia di New Delhi dan Islamabad telah pun mengeluarkan nasihat perjalanan agar rakyat Malaysia yang merancang ke negara tersebut untuk menjadualkan semula perjalanan.
“Keselamatan kedua-dua negara itu kini berada dalam keadaan tidak menentu susulan insiden pembunuhan yang berlaku di sebuah resort di kawasan Kashmir yang ditadbir oleh India.
“Kawasan Kashmir sememangnya telah lama menjadi wilayah bergolak dan kejadian keganasan yang meragut banyak nyawa itu telah memburukkan lagi hubungan antara India dan Pakistan, sehingga mencetuskan saling tuduh-menuduh antara kedua-dua pihak.
“Kita amat bimbang dengan perkembangan ini kerana ia telah mengundang tindakan balas yang melibatkan serangan bersenjata, termasuk penggunaan dron dan roket. Keadaan seperti ini perlu dielakkan demi kestabilan dan keselamatan,” katanya. – UTUSAN