PETALING JAYA: Dua individu kerugian RM157,200 selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan yang menjanjikan keuntungan sehingga RM5,000 sebulan bagi perniagaan kiosk dobi layan diri.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, konsep program pelaburan yang ditawarkan adalah para peserta akan diberikan pilihan kiosk dobi layan diri yang mana bersesuaian dengan pilihan para peserta.
Malah katanya, pihak sindiket turut menjanjikan dan membuat penawaran bahawa segala proses pemasangan, penyelenggaraan serta pengiklanan kiosk dobi layan diri tersebut akan diuruskan.
“Pihak syarikat juga menjanjikan kepada mangsa dan menyatakan bahawa syarikat mempunyai beberapa tempat yang strategik untuk mendirikan atau meletakkan kiosk dobi layan diri tersebut.
“Akibat janji manis dibuat sindiket telah menyebabkan dua mangsa sehingga mereka kerugian berjumlah RM157,200,” katanya di sini.
Kata Hishamuddin, impian kedua-dua mangsa untuk meraih keuntungan itu berkecai apabila pihak syarikat gagal menunaikan janji dan tawaran yang telah diberikan walaupun jumlah keseluruhan modal telah dibayar sepenuhnya.
Disebabkan itu juga, beliau berkata, mangsa telah mengesyaki mereka ditipu dan diperdaya oleh syarikat terbabit.
“Mangsa juga telah mengambil inisiatif lain untuk berhubung dengan wakil pihak syarikat tetapi maklum balas yang diterima hanya alasan negatif sahaja,” ujarnya.
Beliau menambah, laporan polis telah dibuat oleh kedua-dua mangsa namun hanya satu kes dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala satu lagi diklasifikasi sebagai ‘No Further Action’ (NFA).
“MHO mendesak pihak berkuasa menyiasat semula kes berkenaan dan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket pelaburan palsu yang dilihat semakin berleluasa,” katanya. – UTUSAN