SEREMBAN: Tindakan seorang remaja berusia 18 tahun menghisap rokok di dalam bangunan Kompleks Mahkamah Seremban membawa padah apabila dikenakan hukuman denda RM400 di Mahkmaah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah menjatuhkah hukuman itu terhadap Orang Kena Saman (OKS) yang masih di bawah umur selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama seminggu, sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, OKS didapati melakukan kesalahan apabila merokok di kawasan larangan di premis kerajaan.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 10.02 pagi di Kompleks Mahkamah Seremban pada 18 November 2024.
Sehubungan itu, OKS didapati melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 17(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dibaca bersama Perintah Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan Atau Tempat Larangan Merokok) 2024, Perenggan 3(9).
Jika sabitkan kesalahan, boleh dihukum mengikut Subseksyen 17(2) akta yang sama.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dilihat menghisap rokok di dalam kawasan Mahkamah Seremban oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dari Pejabat Kesihatan Daerah Seremban.
Pegawai berkenaan menghampiri remaja berkenaan dan menerangkan kesalahan dilakukan sebelum remaja terbabit membuang baki putung rokok di tangannya. – UTUSAN