PUTRAJAYA: Harga Beras Putih Import (BPI) di semua pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di seluruh negara diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan berkuat kuasa esok.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyelarasan ini merupakan kali kedua selepas penurunan harga pada 1 Disember 2024, daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.
Sejajar itu, kata beliau, program subsidi BPI oleh Kerajaan Persekutuan bagi negeri Sabah dan Sarawak akan diteruskan seperti biasa.
“Pelarasan harga BPI di seluruh negara ini sebagai langkah proaktif untuk terus menjamin kestabilan bekalan serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
“Langkah ini jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani yang berteraskan prinsip keprihatinan dan kesejahteraan rakyat untuk memastikan makanan ruji negara kekal mampu milik, mudah diperoleh, dan sentiasa mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad, keputusan pelarasan ini juga hasil sesi libat urus bersama Bernas, dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk perkembangan pasaran global serta keperluan menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.
Katanya, kejayaan ini adalah hasil pendekatan strategik Bernas dalam mempelbagaikan sumber bekalan beras daripada pelbagai negara seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar – seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal.
“Kementerian akan terus memantau perkembangan pasaran dan memastikan dasar-dasar yang digariskan kekal berpaksikan kepentingan rakyat dan keterjaminan makanan negara,” katanya. – UTUSAN