Hanya satu peratus koperasi di Melaka terlibat pelancongan

Hanya satu peratus koperasi di Melaka terlibat pelancongan

ALLEX Seah Shoo Chin (dua dari kiri) meninjau reruai peserta Program Asasi Niaga, Biz-Nest dan Ekspansi Gerakan Koperasi Negeri Melaka 2025 di Kompleks Perbadanan Ketua Menteri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Banyak produk koperasi di Melaka yang berpotensi menyokong sektor pelancongan tidak diketengahkan secara meluas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, hanya satu peratus daripada 504 koperasi di negeri ini terlibat dengan aktiviti pelancongan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Beliau berkata, perkara itu tidak selaras dengan kedudukan Melaka sebagai negeri pelancongan yang akan menganjurkan dua acara penting iaitu Hari Pelancongan Dunia (WTD) 2025 dan menjadi lokasi perasmian Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kita jangkakan kedatangan pelancongan meningkat berbanding tahun lepas seramai 15 juta orang. Justeru, koperasi disaran lebih kreatif dalam meneroka sumber perniagaan baharu khususnya dalam sektor pelancongan.

“Ada banyak peluang dan ruang untuk koperasi terlibat sama. Kita telah melawat beberapa koperasi yang menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan yang mana sesuai dijadikan ekopelancongan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Asasi Niaga, Biz-Nest dan Ekspansi Gerakan Koperasi Negeri Melaka 2025 di sini, hari ini.

Tambah Shoo Chin, koperasi tidak semestinya menghasilkan produk pelancongan baharu sebaliknya mengetengahkan produk sedia ada.

“Contohnya koperasi yang terlibat penanaman cili dan penternakan kupang boleh menjadikan aktiviti teras itu sebagai produk ekopelancongan. Pelancong bersama keluarga boleh datang melawat dan belajar sesuatu di tapak semaian atau kolam ternakan.

“Sebab itu tidak perlu cipta produk baharu tetapi memanfaatkan apa yang telah diusahakan dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan baharu yang menguntungkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN