Hajat arwah bawa anak main buaian beroda tidak kesampaian

Hajat bawa anak main buaian beroda tak kesampaian

JENAZAH dua beranak ini dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeneris, Pasir Salak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: ‘Sukar untuk saya terima hakikat hilang dua orang tersayang serentak’.

Itu kata Mohamad Alif Asripan, 30, yang kematian anak dalam kandungan isterinya, Norfazlin Mohamad Fadzil, 29, yang berusia lima bulan akibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat Bukit Subang susur Lebuh Raya Guthrie di Sungai Buloh, Sela­ngor, Khamis lalu.

Ini disusuli dengan berita kematian isterinya tidak lama selepas pengebumian jenazah anaknya di sini pada Jumaat lalu.

Menurutnya, kehilangan dua orang tersayang sangat sukar diterima apatah lagi kejadian berlaku sangat pantas.

Katanya, dia masih teringat saat-saat akhir bersama isterinya sebelum kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan balik ke rumah di Ladang Bukit Talang, Kuala Selangor.

“Ketika melalui lebuh raya PLUS, isteri saya ternampak buaian beroda yang besar di tepi lebuh raya. Dia kata buaian itu cantik dan kata nak bawa anak bermain di situ pada hari cuti bekerja. Masa itu dia kelihatan sangat seronok dan tersenyum ke arah saya.

“Nampaknya hasratnya untuk membawa anak bermain di buaian besar itu tidak tercapai,” katanya ketika ditemui.

Dalam kemalangan itu, isterinya mengalami cedera parah dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, sementara anak perempuan mereka, Nor Afina berusia tiga tahun mengalami cedera dan masih dirawat di hospital sama.

Doktor melakukan pembedahan untuk menyelamatkan kandungan isterinya yang berusia lima bulan namun disahkan meninggal dunia.

Mohamad Alif menyelesaikan urusan pengebumian anak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeneris di sini pada pukul 2.30 petang Jumaat.

Apabila selesai, dia balik semula ke Hospital Sungai Buloh dan mendapat tahu isterinya pula meninggal pada pukul 5.56 petang.

“Sedih sangat kerana baharu sahaja kehilangan anak perempuan dalam kandungan isteri, lepas itu hilang seorang lagi,” katanya.

Jenazah dua beranak itu dikebumikan bersebelahan di tanah perkuburan yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN