MELAKA: Pasaran kerja hari ini menuntut kemahiran baharu seiring perkembangan teknologi digital, justeru generasi muda mempunyai kelebihan daripada segi fleksibiliti dan kebolehan mengadaptasi perubahan tersebut.
Oleh itu, Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4B) menolak cadangan menaikkan had umur persaraan kerana ia tidak sesuai dengan keperluan semasa serta perkembangan pasaran pekerjaan negara.
Presidennya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, pengekalan had umur sedia ada adalah penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia yang kini perlu bersaing dalam dunia pekerjaan semakin mencabar.
“Jika kita terus membuka ruang kepada mereka yang sudah lanjut usia untuk kekal dalam pekerjaan utama, maka peluang anak muda akan terus terbatas dan ini akan memberi kesan kepada pembangunan bakat dan inovasi dalam negara,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan had umur persaraan dinaikkan dari 60 kepada 65 tahun.
Pandangan secara peribadi itu dilontarkan berdasarkan pemerhatiannya terhadap jumlah individu yang berusia 60 tahun ke atas dilihat masih sihat, aktif dan berkemampuan untuk terus menyumbang perkhidmatan mereka.
Tambah Mohd. Ridhwan, meskipun pengalaman warga senior tidak boleh dinafikan, namun sudah tiba masanya untuk mereka memainkan peranan berbeza selepas bersara, bukan terus bergantung kepada kerjaya tetap.
“Kita mengiktiraf sumbangan warga emas dalam sektor pekerjaan, tetapi peranan mereka sepatutnya berubah kepada bentuk yang lebih fleksibel dan berorientasikan bimbingan.
“Sebagai contoh, mereka boleh dilibatkan sebagai mentor, penasihat komuniti, pembimbing di sekolah atau fasilitator di university dan ini membolehkan mereka terus menyumbang tanpa perlu bersaing secara langsung dengan tenaga kerja muda,” jelasnya.
Ujarnya, kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap kesejahteraan golongan pesara dengan memperkukuh sistem sokongan sosial agar mereka tidak terpaksa kembali bekerja semata-mata untuk menampung kehidupan.
Katanya, kestabilan tenaga kerja negara hanya boleh dicapai apabila berlaku keseimbangan antara peluang kepada anak muda dan pengiktirafan kepada generasi terdahulu. – UTUSAN