Had bersara 65 tahun dikaji jawatankuasa khas

Had bersara 65 tahun dikaji jawatankuasa khas

STEVEN Sim Chee Keong bersama penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Bantuan PHEKS Peringkat Zon Tengah di Klang, Selangor. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Usia persaraan antara isu utama diteliti Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) secara terperinci ekoran cadangan supaya had bagi penjawat awam dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, perkara itu meliputi satu daripada 28 undang-undang buruh di bawah kementeriannya yang sedang dikaji menerusi satu jawatankuasa khas tahun ini.

Katanya, jawatankuasa yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Antarabangsa Kesuma, Dr. Mohd. Shaharin Umar akan melihat kesesuaian cadangan had umur persaraan yang mempunyai pro dan kontra jika dilaksanakan.

“Kita akan mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh terutama sektor awam, pekerja dan majikan bagi memastikan undang-undang buruh itu selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.  

“Kementerian mahu melihat semula kesemua 28 undang-undang itu termasuk berkaitan usia persaraan. Ini kerana ada daripadanya ketinggalan zaman dan terpaksa dimansuhkan atau dikemaskini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Peringkat Zon Tengah di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan akan meneliti dan mengkaji implikasi cadangan menaikkan had umur persaraan penjawat awam daripada 60 kepada 65 tahun.  

Cadangan itu melibatkan banyak implikasi termasuk daripada segi kewangan, demografi penduduk dan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said secara peribadi mencadangkan perkara itu kerana jumlah individu berusia 60 tahun ke atas dilihat masih sihat, aktif dan berkemampuan terus menyumbang perkhidmatan mereka.

Namun, cadangan itu menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan umur dan latar belakang. 

Tambah Steven, peruntukan berjumlah RM10 juta kepada PHEKS merupakan tertinggi dalam sejarah pelaksanaan kesatuan itu berbanding RM5.8 juta tahun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN