Pada 16 Mei ini, kita akan menyambut Hari Guru sebagai tanda pengiktirafan dan terima kasih kepada pengorbanan pendidik di seluruh negara. Guru ialah individu yang mendidik, membimbing, dan membentuk insan dari segi intelek, sahsiah, dan nilai kehidupan. Dalam konteks Islam, guru dikenali sebagai murabbi, muallim, mursyid, dan muaddib, masing-masing merujuk kepada peranan yang lebih holistik dan mendalam.
Menurut Imam Al-Ghazali, “Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi juga memimpin jiwa murid ke arah kebaikan dan mengenal Tuhan.” Manakala ahli pendidikan barat, John Dewey menyatakan – “Education is not preparation for life; education is life itself.” Ini menunjukkan peranan guru bukan sahaja menyediakan murid untuk masa depan, tetapi juga mencorakkan kehidupan mereka secara langsung pada hari ini.
Guru bertanggungjawab menyampaikan ilmu secara tepat dan berkesan. Guru juga memainkan peranan penting dalam membentuk nilai moral, etika, dan akhlak murid. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, aspek pembangunan insan secara menyeluruh (jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial – JERIS) menjadi tunjang utama.
Sebab itu, seorang guru adalah penggerak perubahan dalam pendidikan. Dalam pendekatan pedagogi moden, guru bertindak sebagai fasilitator yang membantu murid membina ilmu melalui pengalaman, perbincangan, dan pembelajaran kendiri. Mereka mendidik generasi muda untuk membawa perubahan yang positif.
Guru bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi pemimpin intelektual, pembimbing rohani, dan agen pembangunan insan. Seperti kata Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi – “Guru ialah pembina umat dan pembentuk tamadun.”
Guru berada di barisan hadapan dalam melaksanakan reformasi pendidikan. Namun, sistem pendidikan negara sering kali terperangkap dalam budaya dan paradigma lama yang tidak relevan dengan keperluan abad ke-21. Di sinilah peranan guru sebagai pemacu reformasi pendidikan menjadi lebih mencabar dan kritikal.
Guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi agen perubahan yang mesti berupaya mentransformasikan sistem pendidikan melalui inovasi, kepimpinan, dan komitmen terhadap keadilan pendidikan untuk murid-murid.
Mereka lebih memahami dinamik bilik darjah, keperluan murid yang pelbagai dan kelemahan sistem pendidikan sedia ada. Suara guru mesti diberikan perhatian oleh kepimpinan pendidikan negara.
Selain itu, guru berperanan penting dalam mempromosikan akses dan ekuiti pendidikan. Di kawasan luar bandar, guru berperanan menjadi pelopor program literasi digital, memastikan murid tidak ketinggalan akibat jurang teknologi.
Walaupun berpotensi besar sebagai pemacu reformasi pendidikan, tidak dinafikan guru terpaksa menghadapi halangan sistemik. Birokrasi yang kaku, kurikulum terpusat, dan tekanan sistem pendidikan yang terlalu obses kepada peperiksaan sering membataskan kreativiti guru. Kekurangan sumber seperti bahan pembelajaran dan latihan juga sering membebankan guru.
Untuk merealisasikan potensi guru sebagai pemacu reformasi, sokongan menyeluruh diperlukan. Pertama, peluang pembangunan profesional berterusan amat kritikal. Misalnya, di Finland, negara yang kerap menduduki tangga teratas dalam PISA, banyak melabur dalam latihan guru berasaskan penyelidikan, membolehkan para guru mengadaptasi kaedah terkini seperti pembelajaran terbeza dan sebagainya.
Di Jepun pula, budaya jugyou kenkyuu (kajian pengajaran) menggalakkan guru bekerjasama menyemak dan memperbaiki rancangan pembelajaran secara berkala sesama mereka. Bagaimana dengan Malaysia? Berapakah peruntukan disediakan untuk latihan guru setiap tahun?
Kedua, pemberian autonomi pedagogi kepada guru akan menggalakkan inovasi pengajaran. Misalnya, melalui pedagogi inovatif seperti pembelajaran berasaskan projek (PBL) atau penggunaan teknologi digital, guru mampu menangani masalah kurangnya keterlibatan murid. ‘
Sebagai contoh di Sweden, guru diberi kebebasan merancang kurikulum berdasarkan konteks tempatan, secara langsung meningkatkan relevansi pembelajaran. Kolaborasi antara guru juga penting. Platform seperti Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) mesti diperkasakan bagi membolehkan perkongsian amalan terbaik dijayakan.
Ketiga, dalam persekitaran pendidikan digital, guru harus dibantu untuk menjayakan agenda besar ini. Tidak semua murid mempunyai akses kepada peranti, internet berkelajuan tinggi, atau suasana pembelajaran yang kondusif di rumah.
Pada masa sama, tidak semua guru mahir menggunakan aplikasi, platform pembelajaran digital, atau teknologi terkini. Sesetengah guru yang lebih senior menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan keperluan digital seperti Google Classroom, Kahoot, Canva, atau AI.
Selain itu, tumpuan murid juga mudah terganggu dalam persekitaran pengajaran berasaskan digital. Murid cenderung membuka aplikasi lain, bermain permainan, atau melayari media sosial semasa kelas dalam talian. Guru perlu lebih kreatif dan interaktif untuk mengekalkan minat murid.
Menilai kemajuan pembelajaran murid secara digital juga bukan mudah. Kebolehpercayaan ujian atau kuiz dalam talian boleh terjejas akibat peniruan, sokongan luar, atau kekangan teknikal.
Pastinya, perubahan drastik dalam sistem pendidikan digital akan memberi tekanan kepada guru.
Ramai guru akan mengalami keletihan digital (digital fatigue) dan tekanan kerja berlebihan. Era pendidikan digital menuntut guru menjadi lebih daripada sekadar pendidik – Mereka harus menjadi teknologis pendidikan, pereka bentuk pembelajaran, dan kaunselor digital. Maka, dengan sokongan latihan guru secara berterusan, infrastruktur yang stabil, dan dasar pendidikan yang mesra guru amat penting memastikan kejayaan reformasi pendidikan.
Dengan kepakaran, kreativiti, dan dedikasi, mereka berupaya menangani cabaran kontemporari seperti ketidaksamaan peluang dan pendidikan digital. Namun, usaha ini memerlukan komitmen kolektif. Kerajaan perlu menyediakan sumber dan autonomi, masyarakat khususnya para ibu bapa pula bersedia untuk menghargai pendekatan progresif, dan guru sendiri mestilah terus berani mencuba kaedah baru.
Seperti kata pakar pendidikan England, Sir Ken Robinson -“Reformasi pendidikan bukan tentang memperbaiki sistem lama, tetapi mencipta sistem baru.” Guru, dengan kedudukan unik mereka, layak menjadi pemacu kepada reformasi ini.
Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM)