Guru Melaka dianugerah Ikon TVET 2025

Guru Melaka dianugerah Ikon TVET 2025

MAHFUDZAH Mohamed Noor mencuba permainan soccer car sebagai simbolik merasmikan Pelancaran Produk Robotik di Bandar Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Guru Kolej Vokasional (KV) Datuk Seri Mohd. Zain mengharumkan nama Melaka apabila dianugerahkan sebagai johan Ikon Guru Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor berkata, kejayaan Ts. Dr. Mohd. Fairuz Jaafar itu adalah kali kedua diraih selepas kali pertama dimenangi guru dari KV Melaka Tengah, Hasrul Halimoon pada 2021.

Katanya, seorang lagi guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau, Muhammad Nasrul Abu Bakar pula menduduki tempat ketiga Anugerah Ikon Guru Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada sambutan yang berlangsung di Kuching, Sarawak.

Ujarnya, Mohd. Fairuz pernah muncul pemenang tempat kedua kategori sama pada 2022 dan menduduki tempat ketiga tahun lalu.

“Kemenangan ini amat bermakna dan sekali gus membuktikan perlunya pendedahan STEM dan TVET kepada murid sekolah rendah di negeri ini. Ini adalah untuk memastikan anak-anak murid belajar bermula dari dalam bilik darjah dan di luar bilik darjah bagi menarik minat mereka berubah aliran apabila melangkah ke sekolah menengah.

“Bukan sahaja anak murid tetapi guru-guru juga akan diberikan pendedahan kepada bidang teknologi termasuk STEM dan TVET, bertujuan meningkatkan kefahaman mereka,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Produk Robotik di sini, hari ini.

Tambah Mahfudzah, pendedahan elemen kemahiran TVET kepada murid sekolah rendah di negeri ini akan dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai beralih ke aliran tersebut.

Menurutnya, bagi tujuan tersebut pihaknya akan berkolaborasi dengan beberapa rakan strategik menerusi pelbagai program yang akan diadakan secara percuma.

Katanya, pembelajaran dalam subjek Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan reka bentuk bagi pelajar tingkatan empat semakin meningkat naik setiap tahun.

“Antara elemen yang perlu diberi penekanan iaitu mengukuhkan projek berasaskan pembelajaran yang membolehkan pembabitan murid dalam projek teknologi dan digital,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN