MELAKA: Seorang guru di sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) agama didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul pelajar lelaki dalam bilik warden asrama, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Aiezad Asni, 38, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun dengan cara menggosok kemaluan mangsa bagi tujuan seksual.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 pagi di bilik warden asrama lelaki sebuah SMK agama dalam daerah Jasin pada 23 Mei 2025.
Tertuduh yang masih bujang berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan tetapi mencadangkan RM30,000 jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara, selain syarat tambahan dilarang mengganggu saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan jaminan terbatal jika melanggar syarat berkenaan.
Peguam Farriz Minarwan Basaruddin merayu jumlah jaminan munasabah dan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung ahli keluarga dan telah ditukarkan ke pejabat pendidikan daerah (PPD) sejak 28 Mei 2025.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM9,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan serta menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan semula kes.-UTUSAN