ALOR GAJAH: Kerajaan negeri menghantar guru-guru sekolah di Melaka untuk melawat makam Hang Tuah di Pulau Bintan, Indonesia secara berperingkat bagi memberi pendedahan dan memperbetulkan fakta sejarah berkaitan pahlawan terbilang itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kumpulan pertama melibatkan seramai 40 orang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman bersama para pengetua serta guru besar telah dihantar pada 9 hingga 11 Mei lalu.
Katanya, kumpulan kedua pula akan menyusul dalam masa terdekat yang melibatkan guru sejarah di sekolah menengah.
Ujarnya, mereka dibawa dari Kota Tanjung Pinang hingga ke pinggir Sungai Duyung iaitu lokasi makam sebenar Hang Tuah dan diberi taklimat.
“Ini satu perkembangan yang amat baik kerana salah satu usaha utama kerajaan negeri adalah untuk memurnikan sejarah yang sudah lama kehilangan fakta yang sebenar agar dapat dicungkil kembali.
“Berdasarkan kajian, generasi kini kurang gemar membaca buku dan kita kena letakkan hasil perolehan terkini mengenai jejak Hang Tuah secara kreatif yang akhirnya pasti akan memberi impak kepada guru-guru, pelajar dan masyarakat di negeri ini.
“Program Jejak Hang Tuah bermula dari beliau dilahirkan dan seterusnya menyelusuri jejaknya di Melaka hingga meninggal dunia di Pulau Bintan dan dengan cara ini dapat menonjolkan Hang Tuah bukan sahaja tokoh pahlawan di Malaysia tetapi di dunia,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Pertandingan Mural Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba di sini, hari ini.
Tambah Ab. Rauf, kerajaan negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri akan menganjurkan pertandingan mural bertemakan ‘Bijak Laksana Tuah Berani Laksana Jebat’ bagi memperkasa semangat kedua-dua tokoh itu di peringkat sekolah.
Menurutnya, pertandingan terbuka kepada kesemua 318 sekolah rendah dan menengah bermula di peringkat DUN dan seterusnya negeri.
“Saya dimaklumkan setakat hari ini lebih 40 sekolah telah menyertai pertandingan ini kerana kita menawarkan pelbagai hadiah menarik bagi menghargai usaha pelajar dan pihak sekolah,” ujarnya.-UTUSAN