PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan permohonan pertukaran guru boleh dibuat selepas berkhidmat cukup dua tahun tanpa syarat.
Perkara itu diumumkan kepada warga pendidik di seluruh negara sempena Sambutan Hari Guru Ke-54 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak, hari ini.
Selain itu, lima berita gembira lain yang diumumkan adalah Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan seramai 1,470 personel MyPg iaitu pembantu guru bagi tahun ini dan sekolah terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan akan menerima pembantu tersebut.
Bagi inisiatif ketiga, 32 guru dalam kalangan penerima Anugerah IKON, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Berwibawa tahun ini bakal melalui pengalaman bertugas di sekolah antarabangsa di United Kingdom (UK) secara percuma di bawah Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT).
Inisiatif keempat, KPM akan menghantar guru dan pegawai terpilih untuk mengikuti kursus jangka pendek di luar negara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam beberapa bidang terpilih.
Bagi inisiatif kelima, diskaun 20 peratus diberi bagi pembelian tiket penerbangan ke seluruh destinasi melalui portal MH GoM manakala inisiatif keenam ialah pemberian diskaun buku antara 20 hingga 30 peratus bagi pembelian secara dalam talian menggunakan ID DELIMa KPM. – UTUSAN