Guna pintu besi dua lapis, laluan rahsia lindung PATI

Guna pintu besi dua lapis, laluan rahsia lindung PATI

OPERASI ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Imigresen dalam membanteras kehadiran PATI serta memastikan penguatkuasaan undang-undang dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah pusat hiburan di Taman Bandar Puteri, Puchong dekat sini sanggup menggunakan pintu dua lapisan besi dan laluan rahsia dipercayai untuk melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Aktiviti pusat hiburan itu terbongkar selepas digembur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) malam tadi.

Difahamkan, pintu utama premis berkenaan dikunci dari dalam sehingga memaksa pasukan serbuan mendapatkan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Puteri bagi memecah masuk ke lokasi.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, Op Gegar yang dijalankan kira-kira pukul 10 malam itu disertai 13 pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas (Intelligent), JIM Selangor.

“Struktur keselamatan premis yang kompleks menyukarkan pihaknya untuk menembusi bahagian atas bangunan.

“Pintu besi dua lapisan dan banyak pintu rahsia di bahagian atas menyukarkan pihak kami untuk masuk, namun tindakan pantas yang dijalankan berjaya memberkas seramai 25 warga asing dipercayai PATI selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 75 individu di premis berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, individu yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki warga Laos, lapan lelaki Vietnam, empat wanita Thailand dan dua lelaki Bangladesh berusia antara 17 hingga 50 tahun.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Turut diberkas ialah seorang remaja perempuan warga Vietnam berusia 17 tahun, manakala individu tertua yang ditahan merupakan lelaki warga Laos berumur 50 tahun,” jelasnya.

Menurut beliau, tiga saman saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi namun tiada tangkapan melibatkan majikan direkodkan.

“Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Imigresen dalam membanteras kehadiran PATI serta memastikan penguatkuasaan undang-undang dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.

“Ia akan diteruskan secara berkala di seluruh Selangor sebagai langkah membendung aktiviti pelanggaran undang-undang oleh warga asing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN