Guna formula BN-PH bertanding kerusi menang

Guna formula BN-PH bertanding kerusi menang

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk mengekalkan penguasaan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh parti masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.

Setiausaha Agung UMNO,  Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, prinsip asas itu menyaksikan BN akan mengekalkan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH kekal dengan lima kerusi. 

“Dua kerusi yang kini dikuasai Perikatan Nasional (PN) pula akan dirundingi oleh kepimpinan BN dan PH.

“Asas kesepakatan ini telah dipersetujui pimpinan tertinggi BN dan PH. Justeru itu, segala bentuk spekulasi berkaitan pengagihan kerusi adalah tidak berbangkit buat masa ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan sembilan cawangan DAP Melaka meluluskan resolusi strategi 14 BN + 14 PH pada PRN Melaka akan datang.

Melaka mempunyai 28 DUN dengan 21 dimenangi BN, lima PH dan dua PN.

Mengikut rekod, PRN Melaka dijangka diadakan selewat-lewatnya November tahun depan.

Sebaliknya kata Asyraf Wajdi, keputusan muktamad mengenai pengagihan kerusi akan ditentukan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi apabila tiba waktunya.

“Ketika ini lebih baik fokuskan segala usaha dan upaya untuk menangani pelbagai isu-isu demi membantu rakyat dan memakmurkan negeri serta negara. 

“Insya-Allah, bila tiba masanya, kepimpinan akan memulakan rundingan dan perbincangan mengenainya,” katanya. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN