Tiga cedera dalam kebakaran libatkan dua gudang

Tiga cedera dalam kebakaran libatkan dua gudang

SEBUAH gudang menyimpan cat dan pelarut di Jalan Permatang Tinggi, Simpang Ampat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang musnah dalam satu kebakaran, petang tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Tiga lelaki warga Nepal cedera dalam insiden kebakaran melibatkan dua buah gudang di Jalan Permatang Tinggi, di sini petang tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Endi Sherimi Mohd Azmi berkata, ketiga-tiga mangsa yang berusia 30-an itu melecur tahap satu dan telah dibawa ke klinik swasta untuk rawatan sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

Menurut Endi Sherimi, gudang yang terbakar ialah sebuah gudang menyimpan cat dan pelarut (solvent) serta gudang yang digunakan untuk menyimpan barangan lusuh.

“Kebakaran yang sama turut melibatkan sebuah lori jenis Ford Maxi yang berada di gudang simpanan barangan lusuh itu dengan anggaran kemusnahan akibat kebakaran sebanyak 90 peratus.

“Bagaimanapun, api berjaya dikawal dan operasi memadam kebakaran itu ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 8.06 malam tadi,” katanya yang memberitahu, kedua-dua gudang yang terbakar itu bukan terletak dalam kawasan kebenaran merancang.

Terdahulu, Pengarah JBPM negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 1.11 petang itu pada mulanya hanya melibatkan sebuah gudang sahaja iaitu gudang menyimpan cat dan pelarut.

Katanya, selain anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, operasi itu turut dibantu oleh anggota dari beberapa BBP lain termasuk Bukit Mertajam, Sungai Bakap, Batu Kawan dan Jalan Perak.

Sebelum itu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal di lokasi gudang berkenaan yang dirakam oleh pengguna jalan raya yang kebetulan melalui jalan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN