Graduan usah melatah, pempengaruh itu dahagakan perhatian - Azhan Rani - Utusan Malaysia

Graduan usah melatah, pempengaruh itu dahagakan perhatian – Azhan Rani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Azhan Rani menyifatkan pempengaruh yang menghina penuntut jurusan Komunikasi Media, Teater, Muzik dan Seni Tari baru-baru hanya mahukan perhatian umum.

Menurut Azhan, selain pempengaruh, terdapat juga sesetengah selebriti yang melakukan tindakan sedemikian demi meraih populariti dengan mendadak.

“Saya istilahkan golongan ini sebagai mabuk ‘spotlight‘ atau dahagakan perhatian. Perkara ini bukan hanya berlaku dalam kalangan pempengaruh, malah dalam kalangan artis pun ada.

“Bagi mereka, cerita buruk itulah yang boleh menaikkan nama. Dan mereka sanggup lakukannya,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran program Haji TV AlHijrah: Menyambut Panggilan-Mu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Azhan juga menasihatkan para graduan yang mengambil jurusan berkenaan tidak perlu melatah dengan tindakan pempengaruh terbabit yang disifatkan mahu meraih interaksi media sosial semata-mata.

“Kita kena sedar pempengaruh ini adakalanya mereka perlu mencipta kontroversi demi meraih jumlah tontonan dan tanda suka yang tinggi. Saya anggap tindakan individu itu hanya untuk dikenali.

“Usah ikut rentak mereka kerana pada akhirnya mereka yang mendapat keuntungan dan perhatian tersebut. Kepada graduan-graduan kursus yang diperkatakan pempengaruh itu, usah melatah. Kita boleh bezakan orang berilmu atau sebaliknya,” jelasnya.

Mengulas mengenai pelancaran Program Haji TV AlHijrah 1446H: Menyahut Panggilan-Mu , Azhan bakal muncul menerusi telefilem yang berjudul Bilal dan Abah pada 8 Jun depan.

Selain Azhan, telefilem arahan Pali Yahya itu turut menampilkan pelakon hebat iaitu Harun Hashim, Ummi Nazeera dan Luqman Hafidz.

Sebelum ini, seorang pempengaruh telah mencetuskan kemarahan dalam orang ramai kerana melabel jurusan Komunikasi Media, teater, muzik dan tarian tradisional sebagai bodoh dan tidak mendatangkan manfaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN