SHAH ALAM: Graduan Komunikasi dan Pengajian Media pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-101 mendedikasikan kejayaan memperoleh Ijazah Sarjana Muda untuk ibu bapa mereka.
Muhammad Hafiz Saidina Umor, 24, berkata, kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa Kewartawanan dengan memperoleh Kelas Pertama adalah hasil keringat ibu bapanya.
Katanya, mereka memainkan peranan penting dalam menyediakan kelengkapan pengajiannya ketika era pasca Covid-19.
“Saya juga merupakan anak kedua daripada lima adik beradik. Justeru, saya perlu menjadi contoh agar mereka terus bersemangat untuk belajar walaupun terdapat kekangan,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau merupakan antara 300 graduan fakulti itu yang menerima sarjana muda daripada Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib pada hari kedua konvokesyen tersebut.
Sementara itu, wartawan dan penyampai Astro Awani, Farhan Hakimi Anwar, 24, berkata, anugerah tersebut adalah bukti jerih perih yang ditempuh selama melanjutkan pelajaran.
Penerima Anugerah Naib Canselor itu berkata, kejayaan tersebut tidak mungkin tercapai tanpa doa, dorongan dan pengorbanan ibu dan kakaknya serta rakan seperjuangan.
“Saya dedikasikan kejayaan ini untuk mereka yang tidak pernah jemu memberikan sokongan,” ujarnya. – UTUSAN











