Ghafar pejuang terbilang, tidak begitu didendang?

Ghafar pejuang terbilang, tidak begitu didendang?

MEMORIAL Tun Abdul Ghafar Baba yang terletak di Peringgit Melaka. – Mingguan/Arif Hamizon Miskon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Iya, kita semua hampir bersetuju, kita sayangkan ramai pemimpin pemimpin kerana mereka banyak menyumbang kepada pembangunan negara antara Tun Ghafar Baba

Memberi penghargaan seperti gelaran tertinggi negara bukti kerajaan menghargai mereka.

Kebanyakan pemimpin negara yang banyak berjasa dan dihargai ini datang daripada parti politik, kerana mereka menyumbang semasa berada dalam kerajaan, sebagai menteri dan pemimpin parti politik tertentu.

Parti politik yang paling ramai melahirkan pemimpin negara ialah UMNO yang menunjangi kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negara selama lebih kurang 60 tahun.

Sebab itu ramai pemimpin UMNO mendapat pengiktirafan kerajaan atas sumbangan mereka semasa berkhidmat dalam pelbagai jawatan dan peringkat termasuklah yang paling tinggi sebagai perdana menteri, timbalan perdana menteri atau setakat menteri.

Selain menerima penghargaan dan pengiktirafan nama mereka juga diabadikan pada papan tanda, nama jalan raya, lebuh raya, nama perumahan, nama sekolah, nama institusi , nama bangunan dan mungkin nama dewan.

Kebanyakan nama-nama ini apabila disenaraikan untuk semakanx, melibatkan pemimpin UMNO yang berkhidmat di peringkat Pusat negeri. Demikian UMNO dan kerajaan menghargai pemimpinnya.

Terbaharu, Umno bercadang untuk menubuhkan Institut Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pusat penyelidikan dan kajian politik.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya tiada aral, cadangan penubuhan institut berkenaan akan diisytiharkan pada ulang tahun UMNO ke-80 tahun depan. “Selain menjadikannya pusat kepimpinan di bawah Umno, kita juga mahu menghargai dan mengabadikan (jasa) Tun Abdullah Ahmad Badaw, “ ujarnya semasa Majlis Pemasyhuran MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, di Kepala Batas baru-baru ini.

Kepala Batas merupakan kawasan Parlimen yang diwakili Perdana Menteri ke-5 itu yang kembali ke Rahmatullah bulan lalu.

Sebelum penubuhan Institut Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, sudah ada sebuah pusat atau Institut Pemikiran Islam Hadhari yang mengambil nama slogan pentadbiran Abdullah menerusi konsep Islam Hadhari.
Kita pun sudah lama tidak mendengar mengenai institut tersebut dan apa kedudukannya hingga ke hari ini. Nma pemimpin UMNO diabadikan di bangunan tertentu, jalan raya sekolah dan MRSM dan paling mudah ditemukan di dewan di ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Selain Dewan Merdeka iaitu dewan paling ikonik dan utama di WTC nama lain ialah Dewan Tun Dr. Ismail, Dewan Tun Hussein Onn, Dewan Tun Razak 1 & 2. Beberapa bekas Presiden dan timbalan presiden UMNO seperti Abdullah, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam, nama mereka tidak diabadikan pada mana-mana dewan tersebut.

Mungkin ada berpendapat, mengabadikan nama di mana mana papan tanda, dewan atau bangunan bukan cara terbaik menghargai seseorang.

Allaaa… setakat mana sajalah pentingnya nama diabadikan dalam pada mana mana nama jalan, bangunan dan sebagainya.

Tapi apakah cara terbaik mengingati seseorang kerana jasa dan sumbangannya .

Hanya Tun Dr. Mahathir yang enggan namanya diabadikan pada mana mana bangunan atau apa saja selagi beliau masih hidup. Tapi selagi boleh dan mendapat kebenaran tidak ada salahnya kita berbuat demikian. UMNO sebagai parti yang berpengalaman dalam melahirkan ramai tokoh sepatutnya jangan gagal menghargai pemimpinnya.

Dalam ramai pemimpin UMNO ini, saya berharap parti itu supaya tidak terlepas pandang menghargai bekas pemimpinnya supaya terus diingati dan diteladani ahli dan pemimpin mudanya.

Bagi saya antara pemimpin UMNO yang sosoknya tidak begitu didendangkan ialah Tun Abdul Ghafar Baba.
Tun Abdul Ghafar Baba (18 Februari 1925 – 23 April 2006) ialah seorang tokoh politik yang terkenal dengan sumbangannya dalam pembangunan luar bandar dan kepimpinan yang sederhana. Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri ke-6 dari 1986 hingga 1993 di bawah pentadbiran Mahathir.

Allahyarham, dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, berasal daripada keluarga petani miskin yang berhijrah ke Melaka. Beliau memulakan kerjaya sebagai guru sebelum melibatkan diri dalam 00politik melalui UMNO. Pada tahun 1959, beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang kedua dan memegang jawatan tersebut hingga 1967 .​

Tun Ghafar memainkan peranan penting dalam pembangunan luar bandar Malaysia, memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar dalam beberapa kabinet.

Pada tahun 1986, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas perletakan jawatan Musa. Namun, pada tahun 1993, beliau kalah dalam pemilihan UMNO kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri .​

Bagi saya, jasa Tun Ghafar amat besar kepada parti dan negara. Beliau istimewa, sentiasa merendah diri malah ketika dianugerah gelaran Tun pun, Ghafar berkata, apalah jasa beliau kepada negara.

Namun di sebalik rentetan jasa dan sumbangan beliau itu, UMNO yang memerintah selama enam dekad seolah-olah terlepas pandang dalam memberi penghargaan kepada beliau yang pernah bekerja sebagai pemungut bola tenis dan budak kedi golf .

Baru-baru ini sempena ulang tahun penubuhan UMNO, bisik hati kecil saya berharap kepada parti Melayu itu supaya memberi penghargaan lebih sesuai kepada Allahyarham.

Setakat yang kita tahu nama beliau ada terpahat di sebuah MRSM selain penubuhan Memorial Tun Abdul Ghafar Baba telah ditubuhkan di Peringgit, Melaka. Ya benar ada, tapi jika dibandingkan dengan sumbangan besarnya, UMNO seharusnya memberi lebih penghargaan berbanding sedia ada.

Nama Tun Ghafar tidak pun diabadikan pada mana mana bilik atau dewan di WTC berbanding beberapa bekas pemimpin lain.

Ghafar berasal daripada keluarga miskin sebab itu semasa Allahyarham belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC), beliau berjinak-jinak dengan perniagaan bagi mencari pendapatan.

Mungkin kerana kemiskinan, beliau hidup dengan berperwatakan sederhana , tetapi itu tidak menyembunyikan kegemilangan sosok ahli politik ini sebagai pemimpin.

Ramai mungkin tahu Ghafar pernah menjadi Pengerusi MARA yang memberi buah fikiran bagaimana agensi tersebut menjadi pemangkin penglibatan orang Melayu dalam perniagaan dan saham.

Bakat kepimpinan beliau lebih menonjol selepas berlaku krisis kepimpinan UMNO pada 1987 yang membawa kepada perletakan jawatan timbalan presiden parti ketika itu, Musa Hitam sebagai timbalan perdana menteri. Perdana Menteri ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad memujuk

Ghafar untuk menjadi timbalan perdana menteri dan memegang portfolio Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, portfolio yang agak sinonim dengan beliau.

Ghafar terpilih sebab beliau berada dalam barisan naib naib presiden parti tersebut yang secara tradisnya menjadi timbalan perdana menteri sedangkan beliau telah memohon untuk keluar Kabinet sebelum itu.

Ghafar juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung BN dan ketika ini tokoh kepimpinannya terserlah apabila menjadi orang tengah dalam menangani krisis kepimpinan MCA, sebuah parti komponen BN.

Pertelingkahan berlaku antara Neo Yee Pan dan Tan Koon Swan. Ghafar juga terlibat dalam membantu menyelesaikan krisis kerajaan di Sabah dan UMNO berkembang ke negeri itu sekali gus sebagai pengerusi perhubungan negeri yang pertama. Siapa pun tidak menyangka dengan kelulusan cikgu sekolah Allahyarham menonjolkan bakat kepimpinannya bukan sahaja dalam politik tetapi menjadi pengerusi beberapa syarikat.

Allahyarham juga pernah menjadi Pemangku Perdana Menteri selama beberapa bulan apabila Perdana Menteri bercuti sakit untuk mendapat rawatan.

Dalam politik terutama parti UMNO, Tun Ghafar bukan sahaja pemimpin sukar dicari ganti kerana jasa dan sumbangannya tetapi beliau boleh dianggap sebuah institusi parti yang wajar dihargai lebih daripada sekadar mengabadikan namanya pada sekolah atau MRSM.

UMNO diharap jangan terlepas pandang sosok tubuh pemimpin yang begitu merendah diri tetapi sumbangannya memberi impak kepada rakyat. UMNO boleh memilih untuk menubuhkan sebuah akademi kepimpinan bagi menggilap bakat pemimpin muda parti dengan mengambil Ghafar sebagai sumber inspirasi.

Beliau pemimpin yang gemilang, sederhana dan adil.

Abdul Ghafar meninggal dunia pada 23 April 2006 Beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara sebagai memperingati jasanya. Sekadar itu sahaja kah? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×