LANGKAWI: Kegagahan tiga pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM dan tiga Hornet F/A18D melintasi ruang udara Langkawi menandakan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) bermula secara rasmi hari ini.
Aksi pembukaan yang sangat menakjubkan daripada pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu membuka tirai pameran berprestij tersebut selama lima hari sehingga 24 Mei ini.
Keseluruhan 25 pesawat yang terlibat pada pembukaan itu termasuk enam buah Pilatus PC-7 MK II; dua buah pesawat angkut A400M dan tiga buah C130H serta lapan helikopter jenis EC-725; AW-139 dan EC120B.
Dalam acara pembukaan itu, beberapa aksi aerobatik dan formasi udara dipersembahkan juruterbang TUDM di hadapan delegasi tempatan dan asing yang memenuhi landasan terbang di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).
Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin.
Turut menyaksikan pembukaan itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.
Pameran bertemakan Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan itu turut akan mempersembahkan persembahan pasukan aerobatik terbaik dunia.
Penganjuran LIMA’25 bagi edisi ke-17 menghimpunkan seramai 860 pempamer dari seluruh dunia merangkumi 426 syarikat antarabangsa dan 434 syarikat tempatan dari 24 buah negara.
LIMA’25 turut melibatkan 31 buah kapal pameran statik dan fleet review bagi segmen maritim di Resort World Langkawi (RWL) yang menyaksikan peningkatan daripada 19 kapal pada LIMA’23.
Sementara itu, Perdana Menteri ketika berucap pada majlis perasmian LIMA’25 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) malam tadi menyifatkan edisi kali ini jauh lebih berjaya berbanding sebelum ini.
Anwar berkata, penganjuran LIMA’25 mencerminkan komitmen kuat Malaysia terhadap kesiapsiagaan pertahanan, keamanan serantau dan kerjasama strategik dalam menghadapi cabaran keselamatan global yang berkembang pesat.
Kata beliau, kedudukan geopolitik Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang dikelilingi Lautan Hindi, Laut China Selatan dan Selat Melaka menekankan kepentingan mengekalkan kesiapsiagaan pertahanan sambil mengekalkan keamanan di rantau ini.
Beliau menegaskan ASEAN sebagai sebuah blok, kekal sebagai tonggak kestabilan serantau justeru Malaysia mengalu-alukan penyertaan kuasa besar termasuk China, India, Korea, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah dalam LIMA’25.
“Saya perlu nyatakan bahawa mana-mana negara untuk menjamin dan memastikan keamanan mesti ada kesiapsiagaan dan mesti dapat menghargai keadaan yang berubah, teknologi termaju dalam industri pertahanan dan anda telah lihat pada tahun-tahun sebelum ini dalam pameran ini dan LIMA tahun ini, kapasiti yang berubah.
“Daripada laporan saya telah melihat perubahan itu bukan sahaja tidak pernah berlaku sebelum ini, kadar perubahan terutamanya dengan teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI) adalah luar biasa dan atas sebab ini kita mengadakan pameran pertahanan yang dipamerkan untuk kita pelajari, kongsi dan lihat,” katanya.
Tambah beliau, kehadiran negara-negara berkenaan bukan sahaja memberi isyarat menyokong dan membina kerjasama bermakna tetapi juga mencerminkan cita-cita bersama untuk membentuk masa depan berasaskan kemajuan, daya tahan dan kolaborasi.
“Walaupun Asia Tenggara mempunyai reputasi sebagai antara rantau paling aman dan rancak dari segi ekonomi di dunia, mengekalkan keamanan tidak boleh dipandang ringan sebaliknya ia memerlukan pelaburan berterusan dalam keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanan bagi berdepan perkembangan global yang tidak dapat diramalkan,” katanya. – UTUSAN