PETALING JAYA: World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) mengumumkan pelantikan Fauzy Wahab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan yang baharu, berkuat kuasa 1 Mei.
Fauzy yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Pegawai Operasi sejak 2019, memainkan peranan penting dalam mendepani cabaran operasi WTCKL termasuk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana pusat itu berfungsi sebagai salah satu lokasi vaksinasi mega negara.
Menerusi kenyataan WTCKL, Fauzy antara individu yang terlibat dalam usaha penjenamaan semula Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kepada WTCKL dengan pengalaman lebih 26 tahun dalam industri hospitaliti.
Fauzy berkata, beliau bertekad untuk memperkukuh kedudukan WTCKL sebagai pusat acara terulung di rantau ini.
“Landskap perniagaan hari ini semakin mencabar, terutamanya bagi pusat konvensyen seperti WTCKL. Walaupun kami memiliki status ikonik, kami perlu terus berinovasi dan menawarkan nilai tambah agar kekal berdaya saing.
“WTCKL kini bukan sahaja berperanan sebagai pusat dagangan antarabangsa, malah turut mengorak langkah sebagai pengurus prasarana acara utama di negara ini”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, WTCKL semakin bersifat pelbagai dalam jenis acara yang dianjurkan selain menjadi hub pameran dan perniagaan, ia juga menjadi tumpuan acara gaya hidup seperti konsert, festival jualan raya, sesi ramah mesra bersama bintang ternama serta pelbagai program sosial dan korporat.
“Kemudahan lengkap yang ditawarkan turut menjadikan WTCKL lokasi pilihan bagi penganjuran majlis konvokesyen pelbagai institusi pendidikan tinggi. WTCKL akan terus komited dalam memenuhi kehendak penganjur dan pengunjung dengan menyediakan pengalaman acara yang menyeluruh dan berkualiti,” katanya.
Sebagai pusat konvensyen bertaraf antarabangsa, WTCKL terus mengekalkan reputasi sebagai destinasi utama bagi pelbagai acara dalam dan luar negara. – UTUSAN