PETALING JAYA: Semua farmasi komuniti milik persendirian perlu mendedahkan harga bersih ubat di semua peringkat rantaian bekalan bagi mengelakkan ketidaktelusan dan manipulasi pasaran.
Itu merupakan antara cadangan utama yang dikemukakan oleh Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menerusi satu dokumen rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia merangkumi 10 hasrat strategik utama bagi memperkukuhkan peranan farmasi komuniti milik persendirian dalam sistem penjagaan kesihatan negara.
Presidennya, Profesor Amrahi Buang berkata, senarai hasrat strategik itu digubal selari dengan Kertas Putih Kesihatan Malaysia, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Dasar Ubat Nasional dan Visi Kesihatan Madani.
Katanya, cadangan lain termasuk menyeru 4,000 farmasi komuniti diiktiraf sebagai hab kesihatan dalam pelan strategik Kementerian Kesihatan, khususnya untuk mengurangkan kesesakan di zon hijau Jabatan Kecemasan.
“Selain itu, Skim Pembiayaan Kesihatan Negara bagi menyokong pembangunan sistem insurans kesihatan sejagat yang merangkumi peranan ahli farmasi sebagai penyedia perkhidmatan utama.
“Kami juga menggesa pelaksanaan dasar preskripsi wajib dalam sektor swasta serta larangan ke atas amalan preskripsi tidak beretika serta menyeru tindakan tegas terhadap platform e-dagang tidak berlesen serta pengukuhan penguatkuasaan siber,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amrahi berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 yang berkuat kuasa pada 1 Mei lalu, serta berdiri seiring dengan gabungan 21 pertubuhan pengguna dalam menyokong dasar kerajaan ini.
Jelasnya, akses kepada penjagaan kesihatan yang mampu milik merupakan hak asasi setiap rakyat dan ketelusan harga mampu memperkasa rakyat untuk mengawal kesihatan mereka.
Menurut Amrahi, pihaknya turut mencadangkan geran atau pelepasan cukai untuk farmasi komuniti kecil, khususnya yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan komuniti B40.
Jelasnya, pihaknya juga menekankan keperluan memperkenalkan model yuran profesional yang tidak bergantung pada margin keuntungan produk.
“Kita juga menyeru pelaksanaan tegas Akta Persaingan 2010 bagi melindungi akses pasaran yang saksama, mempromosikan akses terbuka kepada semua ubat berdaftar dan menentang urus niaga pilih kasih serta menyokong syarat pemilikan majoriti (51 peratus) oleh ahli farmasi serta taburan farmasi yang lebih seimbang,” katanya.
Farmasi komuniti merupakan antara penyedia penjagaan kesihatan yang paling mudah diakses oleh rakyat, terutamanya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan.
Ketika negara berdepan pandemik Covid-19, farmasi komuniti terus beroperasi di barisan hadapan demi memenuhi keperluan rakyat, walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan risiko. – UTUSAN