Fan Bingbing mungkin dilantik semula duta TMM 2.0

Fan Bingbing mungkin dilantik semula duta TMM 2.0

RAUF Yusoh menerima pengiktirafan sijil MBOR di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selebriti antarabangsa, Fan Bingbing berkemungkinan dilantik semula sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0) pada tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, strategi menggunakan Bingbing sebagai duta sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) terbukti berjaya menarik pelancong dari China, Taiwan dan Hong Kong.

Katanya, perkataan ‘Melaka’ dan ‘Fan Bingbing’ mencatat lebih 1.5 bilion carian yang digabungkan di platform WeChat di China mengatasi capaian acara mega seperti Shanghai International Film Festival dan Weibo Movie Awards pada 14 dan 15 Jun 2024.

“Mengenai Binbing nanti kita akan maklumkan kemudian tetapi yang pasti sempena TMM 2.0 nanti banyak kejutan akan kita umumkan pada pelancarannya hujung tahun ini.

“Ini membuktikan strategi promosi pelancongan melalui tokoh berpengaruh antarabangsa seperti Binbing memberi impak luar biasa, khususnya menarik bukan sahaja pelancong dari China tetapi juga dari Hong Kong dan Taiwan bagi menembusi pasaran utama pelancong ke Melaka.

“Kejayaan ini bukan sekadar angka, ia adalah satu anjakan imej Melaka kini berada di peta pelancongan global sebagai sebuah destinasi yang dikenali, dikunjungi dan dihormati,” katanya selepas menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas capaian digital terbesar bagi pelancongan Malaysia di platform WeChat menggunakan duta selebriti di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, jumlah pelancong dari China ke Melaka meningkat daripada 204,818 orang pada Disember 2023 kepada 664,687 orang pada Disember 2024, menunjukkan peningkatan seramai 459,869 orang.

“Kerajaan negeri akan terus menggandakan usaha promosi berskala global dengan meneroka kerjasama strategik baharu, memanfaatkan platform digital dan memperkukuh kedudukan Melaka sebagai antara destinasi pelancongan paling berpengaruh di rantau ini terutama menjelang pelancaran TMM 2.0 tahun depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN