MELAKA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memerlukan kerangka baharu pelaksanaan bola sepak berkaitan soal penajaan, menjana pendapatan dan membina ekosistem yang dapat menjamin survival kelab atau pasukan profesional untuk bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, jika tidak isu melibatkan beberapa pasukan yang menarik diri daripada beraksi di Liga M akan terus berulang setiap tahun.
Katanya, FAM tidak boleh lepas tangan berhubung kemelut dihadapi berkaitan soal kewangan kerana ia akan menjejaskan saingan Liga Super musim 2025/2026 serta tidak sepatutnya mengheret Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kerajaan negeri untuk campur tangan.
“FAM dan MFL perlu cari jalan keluar terhadap permasalahan yang membelenggu kebanyakan kelab atau pasukan bola sepak negeri sejak beralih ke liga profesional.
“Jadi untuk jadikan bola sepak lebih profesional FAM perlu bergerak dengan kerangka baharu seperti membantu mencari dana, penajaan, bagaimana hendak tambah pendapatan mungkin melalui industri sukan itu, menjual cenderamata dan penyokong.
“Berhubung keputusan Jawatankuasa First Instance Body (FIB) memberikan lanjutan masa bagi kelab melengkapkan dokumentasi pelesenan kelab sehingga 10 Mei ini, ia adalah masa sesuai untuk mencari jalan keluar sementara waktu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Terlajak Raya Hang Tuah Jaya di sini, semalam.
Sebelum ini, Juara Piala Malaysia lapan kali, Perak FC yang berdepan isu kewangan mengesahkan akan menarik diri dari Liga Super musim ini, selain status penyertaan naib juara Piala Malaysia baru-baru ini, Sri Pahang juga masih menjadi tanda tanya.
Selain itu, nasib beberapa pasukan yang berdepan isu tunggakan gaji seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC bergantung kepada keputusan pelesenan kelab yang bakal diumumkan FIB pada 10 Mei ini.
Tambah Adam Adli, seluruh peminat kecewa berhubung hasrat beberapa gergasi bola sepak tempatan seperti Perak, Kedah dan Pahang ingin menarik diri daripada Liga Super.
Menurutnya, masalah itu tidak melibatkan persatuan bola sepak yang mendapat sokongan kerajaan negeri, hanya kelab-kelab swasta tanpa persatuan berdepan masalah kewangan dan tunggakan gaji.
“Perlu ada rasa kebertanggungjawaban yang lebih kuat dalam kalangan pengendali kelab dan persatuan bola sepak untuk sama-sama menyelesaikan kemelut yang boleh menyebabkan Liga Super menjadi suram tanpa beberapa gergasi bola sepak negara,” ujarnya. – UTUSAN