PETALING JAYA: “Tak sabar untuk panggil awak teman sejiwa, suami dan ayah kepada anak-anak kita. Saya sayang awak tanpa henti.”
Demikian luahan pelakon, Eyka Farhana buat bakal suaminya yang juga pemain boleh sepak, Akhyar Rashid.
Seolah sedang menghitung waktu untuk bergelar suami isteri, Eyka turut memuat naik sebuah video pra perkahwinan menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian tersebut, Eyka dan Akhyar dilihat segak mengenakan pakaian sedondon berwarna putih.
Menerusi hantaran tersebut, pelakon drama Budak Tebing itu sempat menitipkan ucapan ulang tahun buat Akhyar.
“Selamat hari jadi buat seseorang yang saya akan luangkan masa bersama selamanya,” katanya di kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut telah meraih pelbagai respons dalam kalangan peminat dan rakan artis yang rata-ratanya tidak sabar untuk melihat penyatuan dua jiwa itu.
Sebelum ini, Eyka dan Akhyar dikhabarkan bakal melangsungkan perkahwinan mereka pada awal Mei.
Bagaimanapun mereka tidak memberitahu sebarang maklumat terperinci mengenai tarikh perkahwinan tersebut.-UTUSAN