PETALING JAYA: Kerajaan mengatur enam strategi untuk memastikan kestabilan ekonomi dan mempertahankan kepentingan negara untuk jangka masa pendek dan sederhana susulan tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antaranya membantu pengeksport yang terjejas khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menggalakkan kerjasama serantau dan pasaran baharu dan mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan kelulusan Kerajaan termasuk untuk pelaburan.
Selain itu, meneruskan agenda pembaharuan Ekonomi Madani terutamanya dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara, penyelarasan dasar berkaitan perdagangan melalui Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) dan Rundingan Penyelesaian Tarif Timbal Balas Dengan Amerika Syarikat.
“Sebagai langkah permulaan, sukacita diumumkan Kerajaan bersetuju meningkatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.
“Kerajaan turut bersetuju menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas dan kerajaan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang secara langsung terjejas,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.-UTUSAN