Enam rumah ibadat bukan Islam tanpa kebenaran telah diambil tindakan

Enam rumah ibadat bukan Islam tanpa kebenaran telah diambil tindakan

LIM SIEW KHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebanyak enam struktur Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang dibina tanpa kebenaran di Pulau Pinang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan antara tahun 2023 hingga Mei 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, tindakan itu melibatkan struktur kecil seperti ‘shrine’ dan binaan lain yang didirikan di atas tanah rizab kerajaan tanpa kelulusan.

“Daripada enam tindakan ini, satu daripadanya telah diambil di Seberang Perai Utara (SPU), dua di Seberang Perai Tengah (SPT), dua di Seberang Perai Selatan (SPS) serta satu lagi di Daerah Timur Laut,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Siew Khim (DAP-Sungai Pinang) berkata demikian ketika menjawab soalan Amir Hamzah Abdul Hashim @ Md Hashim (Pas-Permatang Pasir) mengenai isu RIBI yang dibina tanpa kebenaran di Pulau Pinang dari tahun 2023 hingga 2025.

Siew Khim berkata, sejumlah 43 tapak RIBI tanpa kebenaran dikenal pasti di kawasan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) antara tahun 2023 hingga 2024, manakala Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pula merekodkan 149 tapak bagi tempoh sama.

Namun begitu, katanya, usaha pemantauan dan pengemaskinian data yang berterusan menunjukkan penurunan ketara dalam jumlah binaan tanpa kelulusan.

“Setakat Mei 2025 ini, jumlah tapak tidak sah di MBPP telah menurun kepada 115 manakala MBSP pula hanya mencatatkan 21 tapak sahaja. Ini membuktikan bahawa usaha pemantauan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri memberi impak positif ke arah penyelesaian isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Siew Khim memberitahu, kerajaan negeri akan mempergiat sesi libat urus bersama persatuan RIBI untuk memastikan setiap binaan mematuhi peraturan, termasuk mengemukakan permohonan rasmi dan mendapatkan Kebenaran Merancang serta pengesahan pelan bangunan melalui One-Stop Centre (OSC) negeri.

“Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi menggalakkan setiap RIBI mendaftar secara rasmi agar rekod kewujudan dapat diselaraskan dan dikawal selia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN