KUALA LUMPUR: Sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penutupan jalan dilaksanakan bermula 23 hingga 28 Mei depan melibatkan laluan masuk dan keluar ke lokasi-lokasi utama khususnya ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Istana Negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Setiap penutupan dijangka berlangsung 30 hingga 45 minit antara 8 pagi dan 8 malam secara berkala mengikut tarikh yang ditetapkan.
“Antara laluan utama yang terlibat adalah Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Imbi, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Parlimen, Jalan Damansara dan Jalan Kuching.
“Enam lebuh raya yang terlibat pula ialah Lebuhraya ELITE, NKVE, GUTHRIE, MEX, KL–Seremban dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, beberapa persimpangan strategik sekitar KLCC seperti Jalan P. Ramlee, Jalan Perak, Jalan Pinang dan Persiaran KLCC akan mengalami penutupan sementara sepanjang tempoh sidang berlangsung.
Jelasnya, penutupan juga melibatkan laluan utama ke lapangan terbang iaitu KLIA dan TUDM Subang termasuk Lingkaran Putrajaya dan Lebuh KLIA.
“Sebagai persiapan awal, raptai pergerakan konvoi akan dilaksanakan pada 21 dan 22 Mei ini melibatkan kawalan laluan, lokasi persidangan, petugas pools serta pergerakan motoked,” katanya.
Mohd. Yusri turut menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan laluan terlibat serta merancang perjalanan lebih awal dan digalakkan menggunakan pengangkutan awam.
“Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan keselamatan serta kelancaran lalu lintas sepanjang tempoh sidang kemuncak ini berlangsung,” ujarnya. – UTUSAN.