MERSING: Seramai enam orang cedera dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan termasuk sebuah bas ekspres dan dua buah lori di Jalan Jemaluang, berhampiran Risda Sungai Ambat, dekat sini pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Shamsuri Shafai berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.38 pagi dan menggerakkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa 46 penumpang, dua buah lori serta sebuah kereta Perodua Alza yang dinaiki empat orang.
“Pemandu Perodua Alza tersepit dan anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
“Tiga lagi penumpang turut cedera dan kesemua mereka dihantar ke hospital dengan bantuan ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Tambahnya, dua pemandu lori turut mengalami kecederaan manakala semua 46 penumpang bas selamat. Operasi tamat pada pukul 6.50 pagi. – UTUSAN