Agong julung kali sempurnakan Istiadat Pertukaran Panji Seri Paduka Baginda - Utusan Malaysia

Agong julung kali sempurnakan Istiadat Pertukaran Panji Seri Paduka Baginda

SULTAN Ibrahim berkenan memeriksa kawalan kehormat Istiadat Pertukaran Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan bercemar duli menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini, pagi ini.

Istiadat Pertukaran Panji-panji Seri Paduka Baginda itu merupakan julung kali diadakan sejak pemerintahan Sultan Ibrahim.

Kelazimannya, istiadat itu dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila terdapat keperluan penggantian panji-panji baharu bagi menggantikan yang lama dan lusuh.

Sultan Ibrahim hadir bersama anakanda-anakanda baginda iaitu Tunku Abu Bakar dan Tunku Idris Iskandar serta disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ketibaan Sultan Ibrahim pada pukul 8.30 pagi disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Sebanyak tiga panji Yang di-Pertuan Agong diarak oleh kontinjen dari tiga perkhidmatan ATM iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Seramai 34 pegawai dan 430 anggota lain-lain pangkat terlibat diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD, Kolonel Mohd. Fuad Md. Ghazali.

ISTIADAT Pertukaran Panji-panji Seri Paduka Baginda itu merupakan julung kali diadakan sejak pemerintahan Sultan Ibrahim. – UTUSAN/AMIR KHALID

Turut mengetuai perbarisan, Pegawai Memerintah Rejimen Kedua KAD, Leftenan Kolonel Ahmad Faisal Muda dan Pegawai Memerintah Markas Tentera Udara, Kolonel Azri Amad.

Laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan bergema di Dataran Panglima Tentera Darat pada penghujung istiadat, disusuli dengan bacaan doa sebelum baginda berangkat meninggalkan majlis pada pukul 9.30 pagi.

Panji-panji merupakan lambang kehormatan, semangat juang dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap raja dan negara.

la menjadi identiti pasukan serta melambangkan tanggungjawab, legasi dan semangat setia yang diwarisi oleh setiap warganya.

Secara tradisi, hanya pasukan yang mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang akan dianugerahkan gelaran ‘Diraja’.

Ia sebagai penghormatan kepada sesebuah pasukan, nama-nama peperangan yang pernah disertai akan disulam pada panji-panji tersebut, dikenali sebagai ‘Penghormatan Tempur’ yang terletak di kiri dan kanan Lambang Diraja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN