PETALING JAYA: Sebanyak lebih empat juta ancaman siber dikesan di negara ini sepanjang 2025.
Berdasarkan data Rangkaian Keselamatan Kapersky (KSN), daripada jumlah tersebut, sebanyak 44,000 serangan siber dicatatkan secara purata pada setiap hari.
Katanya, peningkatan jumlah ancaman tersebut disebabkan penipuan siber yang tersebar melalui beberapa platform terkenal dengan menggunakan modus operandi menerusi pautan bantuan kewangan kerajaan.
“Penipuan berlaku sekitar tempoh Mac dan April apabila bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diagihkan dengan bermula dengan mesej di WhatsApp atau Telegram yang memaklumkan penerima bahawa bantuan kewangan kerajaan seperti STR telah dikreditkan dan menggesa mereka menyemak status pembayaran melalui satu pautan.
“Mesej-mesej ini sering ditulis dalam Bahasa Melayu dan Cina, serta disertakan dengan imej palsu yang menyerupai portal rasmi kerajaan. Sebaik sahaja pautan tersebut diklik, ia boleh mencuri data peribadi, menjejaskan aplikasi pemesejan pengguna atau menyebabkan pengguna dilog keluar daripada akaun mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, para penjenayah siber menyasarkan serangan ketika para penerima aktif menyemak dan mengemas kini bantuan kewangan sekali gus mendedahkan mereka menekan pautan tanpa menyemak kesahihan terlebih dahulu.
Pengarah Urusan Asia Pasifik Kaspersky, Andrian Hia berkata, penjenayah siber kini mengeksploitasi tabiat harian pengguna untuk terjebak dalam penipuan siber.
“Gelombang serangan siber menunjukkan betapa pantasnya penjenayah melakukan kegiatan mereka mengikut situasi semasa. Hanya satu sentuhan pada pautan, sudah cukup untuk membuka kebocoran data peribadi, tanpa disedari mangsa,” jelasnya. – UTUSAN