BATU PAHAT: Empat orang suruhan ceti haram atau along mengaku bersalah melakukan khianat dengan menyimbah cat dan menampal notis di rumah dan kenderaan beberapa individu, awal bulan lalu.
Tertuduh, Syed Najib Syed Mohamad, 33; Nurul Farah Syafiqah Abd. Aziz, 28; Mohamad Redzwan Mohd. Hata, 30, dan Cheong Wee Chen, 35, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini dengan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Khalid Ab. Karim.
Syed Najib yang bekerja sebagai juruteknik berdepan enam pertuduhan, Nurul Farah Syafiqah seorang ibu tunggal didakwa dengan empat pertuduhan manakala Mohamad Redzwan dan Wee Chen masing-masing lima dan tiga pertuduhan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa menyimbah cat dan menampal notis di rumah dan kereta empat individu berusia antara 28 hingga 44 tahun di sekitar Johor Bahru dan Kluang pada 1 hingga 9 April 2025.
Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mereka turut didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Tan Song Yan.
Syed Najib dibenarkan diikat jamin RM4,000, Mohd. Redzwan (RM3,000) manakala Nurul Farah Shafiqah dan Wee Chen masing-masing RM2,000.
Mahkamah menetapkan 29 Mei dan 5 Jun ini untuk mengemukakan fakta kes dan menetapkan hukuman. – UTUSAN