KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) Ke-25 telah mencapai empat hasil utama sekali gus memperkukuh hala tuju integrasi ekonomi serantau menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Malaysia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu berlangsung sebagai sebahagian daripada siri mesyuarat persediaan ASEAN, dengan kehadiran menteri-menteri ekonomi dan delegasi dari semua negara Anggota ASEAN serta Timor Leste.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, mesyuarat kali ini telah membincangkan isu mendesak seperti ketegangan geopolitik dan kesan dasar tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap perdagangan serta pelaburan ASEAN.
“Menteri sebulat suara mengakui bahawa ASEAN tidak boleh lagi berpegang kepada pendekatan ‘seperti biasa’.
“Kita mesti lebih berani, tangkas dan berpandangan jauh bagi melindungi serta memajukan kepentingan sosio-ekonomi rantau ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat AECC ke-25 di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, antara hasil penting yang pertama, mesyuarat mengalu-alukan kejayaan sepenuhnya Penyampaian Ekonomi Keutamaan (PED) Laos bagi 2024, menerusi penerimaan rasmi Pelan Hala Tuju Piawaian Perdagangan Digital, sekali gus menandakan kemajuan besar dalam agenda ekonomi digital ASEAN.
Katanya, pencapaian kedua membabitkan Malaysia apabila dua PED negara bagi 2025 berjaya dimuktamadkan, iaitu rundingan naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0) dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).
“Kedua-dua perjanjian penting ini dijadualkan ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober nanti. Ini adalah pencapaian besar yang akan melonjakkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi ASEAN,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, ATIGA yang telah lama menjadi teras integrasi ekonomi ASEAN kini bakal mengandungi peruntukan baharu yang bersifat berpandangan ke hadapan serta signifikan dari sudut komersial.
Katanya, ia termasuk pemerkasaan perdagangan serantau, daya tahan rantaian bekalan dan integrasi yang lebih komprehensif.
“Pencapaian ketiga pula adalah kejayaan rundingan Memorandum Perjanjian Dipertingkatkan (MoA) mengenai Grid Kuasa ASEAN (APG), yang akan ditandatangani semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) pada Oktober 2025.
“Grid Kuasa ASEAN ini adalah inisiatif strategik bagi memperkukuh keselamatan tenaga, kesalinghubungan dan kelestarian serantau.
“Dalam konteks ini, Majlis turut menyokong usaha ke arah penubuhan Rangka Kerja Kemudahan Pembiayaan APG bagi merangsang aliran pelaburan tenaga merentas sempadan.
“Majlis juga menyokong penuh penganjuran mesyuarat bersama antara Menteri Tenaga, Kewangan dan Ekonomi ASEAN pada Ogos nanti untuk membincangkan pembiayaan dan pelaburan tenaga secara lebih terperinci,” katanya.
Sementara itu, hasil keempat membabitkan status semasa Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 yang kini berada di tahun terakhir pelaksanaannya.
Setakat April 2025, kadar pelaksanaan keseluruhan mencapai 97 peratus, dengan 75 peratus telah selesai dan 22 peratus masih berjalan.
Pelan Induk AEC 2025 terbukti memainkan peranan besar dalam membina ekonomi ASEAN yang bersepadu, inklusif dan berteraskan inovasi. Ia juga mengukuhkan daya saing serantau dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan, PKS, digitalisasi dan kemampanan.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, pencapaian 97 peratus itu menjadi asas kukuh kepada penyediaan Pelan Strategik AEC 2026–2030 yang akan dilancarkan sebagai sebahagian daripada dokumen Wawasan Komuniti ASEAN 2045 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
“Majlis mengesahkan komitmen terhadap pelaksanaan pelan strategik baharu ini. Kita juga akan mengadakan sesi sosialisasi serantau pada 12 Jun di Kuala Lumpur untuk memperkenalkan manfaat pelan itu kepada semua pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN