PETALING JAYA: “Lebih 30 hari saya berlakon dan lebih 30 hari juga saya sengsara mahu melawan ‘benda’ itu.”
Demikian kata pelakon, Elfira Loy ketika mendedahkan dirinya pernah mengalami gangguan mistik sewaktu menjalani penggambaran drama bersiri, Qalesya di sebuah pusat penginapan sekitar Hulu Langat.
Menurut Elfira, gangguan tersebut berlaku selepas dirinya mengambil gambar berdekatan dengan pokok ketika waktu senja sehingga dirinya diserang kegelisahan atau ‘anxiety’.
“Cerita ini tentang budak-budak sekolah agama, jadi penggambarannya dijalankan di sebuah chalet yang berada di Hulu Langat. Chalet itu sangat cantik, jadi bila ada sahaja waktu rehat kami akan bergambar.
“Saya pula memang suka pokok-pokok dan bunga. Suatu hari saya pun bergambar berhampiran pokok dan ketika itu sudah hampir waktu maghrib.
“Hari kedua saya rasa anxiety dan tak senang duduk. Saya rasa panas dan penat dengan penggambaran,” katanya menerusi sesi audio siar Sembang Seram yang dikendalikan oleh Safwan Nazri.
Berkongsi lanjut mengenai kejadian tersebut, Elfira memberitahu dirinya mendapat bantuan daripada salah seorang krew produksi yang mempunyai kelebihan mengenai perkara mistik.
Katanya, lelaki tersebut memaklumkan bahawa dia diganggu oleh bunian yang dipercayai berkenan untuk menjadikan dia sebagai kawan dan puteri kerana karakter Qalesya yang dijayakan ketika itu.
“Ada seorang abang yang memang tahu tentang benda ini (mistik) dan dia selalu bertanya kepada saya, adakah saya okay. Pada awalnya saya terlalu emosi untuk menjawap pertanyaannya.
“Dia pergi ke belakang saya dan dia rasa badan saya panas, katanya ada anak-anak bunian yang ikut saya. Saya baru teringat saya ambil gambar dekat pokok buluh, kata mereka itu adalah tempat bunian duduk dan anak-anak bunian main.
“Benda itu tertarik dengan saya dan anggap saya seperti kawan-kawan mereka. Selain itu, ada juga benda jahat yang berminat dengan saya.
“Bunian-bunian ini nak ikut saya kerana nama karakter Qalesya itu adalah nama puteri mereka jadi mereka mahu jadikan saya puteri mereka,” kongsinya.-UTUSAN