SEREMBAN: Semua calon yang bertanding dalam Pemilihan PKR 2025 kali ini perlu menjadikan ia sebagai pertandingan persahabatan yang membantu memperkasakan parti.
Calon Naib Presiden, Chang Lih Kang berkata, calon-calon yang bertanding juga perlu mengelakkan untuk menyerang calon lain termasuk mempersoalkan isu kesetiaan.
“Jangan persoalkan kesetiaan kita, ini mesej saya kepada kawan-kawan, pemilihan parti itu bukan pilihan raya umum.
“Pemilihan parti patut jadi pertandingan persahabatan, nanti kamu lawan saya, serang-serang saya, kata ‘tidak boleh pakai’, tidak setia tiba-tiba selepas pemilihan, kita kena gabung dan bekerjasama balik.
“Tidak boleh lah kan? Itu sebab kita kena pastikan barisan (pemimpin) yang memang faham tentang perjuangan parti, pertahankan budaya tradisi (parti) kerana jika tidak parti kita akan hilang identiti,” katanya ketika berucap pada program Jelajah HIRUK di sini semalam.
Lih Kang turut berkata, budaya parti itu yang perlu terus subur adalah dengan menegakkan prinsip-prinsip keadilan, melawan rasuah dan politik wang.
“Itu sebabnya kita perlu pertimbangkan calon yang boleh mempertahankan budaya parti kita. Selain itu, kita perlu memperkasakan parti, kita perlu aktivis-aktivis yang betul-betul teruji, aktivis-aktivis yang betul-betul faham perjuangan parti kita.
“Perkara ini penting untuk pastikan kita menang pilihan raya umum akan datang dan membantu presiden kita menjadi Perdana Menteri untuk penggal kedua,” katanya. – UTUSAN