Ekspo perniagaan bantu kenali budaya masyarakat Arab

Ekspo perniagaan bantu kenali budaya masyarakat Arab

JEMAAH haji berbelanja pada Ekspo Perniagaan NUSUK-Pilgrim Gift di Mekah, Arab Saudi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah haji Malaysia berpeluang mendalami budaya serta sosioekonomi masyarakat tempatan ketika berada di Tanah Suci menerusi Ekspo Perniagaan NUSUK-Pilgrim Gift di sini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, jemaah berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat peranan syarikat-syarikat tempatan termasuk penyedia barangan dan perkhidmatan khusus untuk jemaah haji.

“Penganjuran program ini merupakan salah satu aktiviti bermanfaat untuk para jemaah kita melihat serta memahami budaya dan aktiviti perniagaan masyarakat Arab di sini. 

“Selain itu, ekspo ini juga mampu memperkaya pengalaman dan pengetahuan jemaah haji Malaysia berhubung kehidupan serta ekonomi setempat di Mekah,” katanya ketika ditemui di ekspo itu, semalam.

Ekspo anjuran Makkah Chamber of Commerce itu berlangsung dari 15 hingga 19 Mei, bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam di Exhibitions and Conferences Center-Makkah Chamber of Commerce.

Ekspo berkenaan disertai sebanyak 68 pempamer dari seluruh Arab Saudi.

Mohd. Hisham berkata, dalam usaha memudahkan jemaah untuk berkunjung, beberapa buah bas disediakan bagi membawa jemaah dari hotel penginapan mereka ke lokasi ekspo dan kembali semula. 

Sementara itu, jemaah haji, Rahmah Ibrahim, 66, menyambut baik program yang diaturkan oleh Tabung Haji (TH) sepanjang berada di Tanah Suci.

“Bagus program sebegini untuk kita kenali budaya serta sosioekonomi masyarakat setempat. Harga barangan yang ditawarkan di ekspo ini juga sangat berpatutan.

“Ekspo ini bukan sekadar mempromosikan produk PKS (perusahaan kecil dan sederhana), tetapi kualiti produk yang dipamerkan sangat baik. Semoga program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat para jemaah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN